Pengorbanan Srikandi Futsal Negara

Jika kini fokus utama tertumpu pada skuad lelaki kebangsaan, skuad wanita juga sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Futsal AFC Wanita 2015. Kejohanan yang julung kali diadakan ini adalah anjuran AFC dan dijadualkan berlangsung di Malaysia.

Namun persiapan srikandi futsal negara ini sedikit mendukacitakan apabila pemain terpaksa melakukan inisiatif sendiri untuk menjalani latihan apabila tidak mendapat liputan serta perhatian sepertimana layanan yang dinikmati oleh skuad lelaki.

20150712195713

Tanpa perlawanan ujian dan ruang waktu yang pendek untuk melakukan persiapan, ianya sedikit sebanyak menjejaskan perancangan jurulatih dan tumpuan pemain. Namun inisiatif pasukan bimbingan jurulatih Chew Chun Yong ini wajar dipuji kerana latihan pusat hanya akan berlangsung pada minggu kedua bulan Ogos.

Inisiatif dimaksudkan adalah pemain yang berplatform di kawasan Lembah Klang yang dipilih jurulatih telah dikumpulkan bagi menjalani latihan selama 2 hari seminggu sehingga ke tarikh latihan pusat rasmi dijalankan pada minggu kedua bulan Ogos. Oleh hal ini menyebabkan jurulatih tidak dapat mengumpulkan kesemua pemain pilihan beliau dan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kekuatan penuh pasukannya.

Latihan pusat yang hanya akan bermula pada minggu kedua bulan Ogos disifatkan sebagai terlalu suntuk buat jurulatih mempersiapkan skuad yang mantap pada kejohanan yang akan bermula 21 September itu. Tiada perlawanan persabahatan juga terpaksa ditelan pahit oleh jurulatih apabila tidak dapat menguji kombinasi pemainnya.

Status selaku pemenang pingat gangsa Sukan Sea 2013 di Myanmar belum cukup membuatkan skuad wanita mendapat perhatian yang lebih serius. Walau rintangan dan dugaan yang dihadapi oleh skuad wanita ini, mereka tetap bersemangat untuk menjalani latihan bagi membawa cabaran negara di kejohanan yang berlangsung di tanah air sendiri. Semua pengorbanan yang dilakukan pemain-pemain adalah semata-mata untuk menggalas tanggungjawab dan mengharumkan negara di seantero dunia.