Pengajaran Berguna Buat "Tigirls"

Diatas kertas sememangnya Iran merupakan pilihan utama bagi mengungguli kumpulan B, namun aksi terakhir pasukan yang sudah diketahui kehebatan mereka dikerah sebelum berjaya menundukkan Malaysia. Iran yang menang selesa keatas Hong Kong dan Uzbekistan pada perlawanan terdahulu akhirnya menemui lawan yang benar-benar memberikan saingan yang hebat buat mereka.

Skuad negara yang ketinggalan seawal minit pertama bingkas untuk kembali bangkit dengan melancarkan beberapa gerakan bagi menembusi gawang Iran. Perbezaan fizikal yang agak ketara juga turut menjadi kelebihan buat anak buah Forouzan Soleimani apabila mudah bagi anak buahnya memenangi perebutan bola udara dan mudah memintas bola hantaran tinggi yang seringkali dilakukan oleh pemain negara.

Namun, ianya tidak menjadikan masalah buat skuad negara yang begitu bersemangat bagi mempamerkan aksi terbaik mereka apabila seringkali mengajak kubu lawan tetapi digagalkan oleh kekentalan penjaga gol Iran.

12027580_936102626450841_3066355286976895414_n

Usaha tanpa mengenal erti jemu skuad negara membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dan ayam tambatan pasukan yang juga penjaring terbanyak Malaysia ketika ini, Farahiyah Ridzuan tenang merembat masuk untuk menyamakan kedudukan untuk menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan terikat 1-1.

Masuk babak kedua skuad negara terus melancarkan asakan demi asakan namun masih buntu untuk mendapatkan jaringan pendahuluan. Dalam keghairahan mencari jaringan, Iran menghukum beberapa kesilapan dengan menjaringkan jaringan dan seterusnya melebarkan kedudukan sehingga 4-1.

Dengan hanya berbaki 5 minit perlawanan, pengendali negara membuat beberapa perubahan taktikal dan bermain 'power play' untuk merapatkan jurang dan akhirnya membuahkaj hasil apabila Farahiyah Ridzuan sekali lagi meledak untuk jaringan peribadi ke-7 beliau setakat ini. Segala usaha selepas itu digagalkan oleh barisan pertahanan dan keputusan berakhir Malaysia tewas 2-4 ditangan Iran.

Ketua pasukan negara, Nur Izzati Khairuddin menyifatkan kekalahan ini adalah berpunca dari 4 hingga 5 peluang terhidang yang gagal diterjemahkan menjadi jaringan.

" Walaupun tewas, saya sangat berpuas hati dengan aksi kami yang tidak menyerah kalah dan bermain dengan satu hati sebagai satu pasukan dan mendengar arahan jurulatih dengan baik", ujar beliau.
" Untuk separuh akhir kami perlu lebih fokus dan bekerja dengan lebih keras lagi kerana jika kami leka, pasukan lawan akan menggunakan kesempatan untuk menghukum kami", tambah pemain yang beraksi untuk Selangor musim ini.

Semoga dengan kekalahan ini, pemain dapat melihat kesilapan yang dilakukan pada perlawanan tadi dan dapat memperbaiki di separuh akhir agar dapat menjelmakan kegembiraan buat peminat negara yang kian membanjiri segenap ruang di Stadium Tertutup Nilai.

Foto : SukanMalaysia.my

Artikel Oleh : Wak Meor