Peluang Tamat Penantian

SELEPAS gagal dalam dua penampilan di Sukan SEA sebelum ini, kapten skuad futsal lelaki negara Mohd Firdaus Razali mensasarkan untuk meraih pingat pertama dalam acara itu pada penampilan ketiganya di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Penjaga gol skuad futsal kebangsaan itu menyifatkan edisi kali ini sebagai peluang terbaik dalam menamatkan penantiannya selama tujuh tahun untuk merangkul pingat dalam futsal memandangkan aksi berlangsung di laman sendiri.

Katanya, dia teruja untuk beraksi pada temasya kali ini terutama selepas tidak dapat beraksi pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura apabila tuan rumah tidak mempertandingkan acara terbabit.

“Persiapan berjalan lancar selama tiga bulan ini namun kita masih mencari rentak bagi pasukan utama memandangkan beberapa pemain tidak dapat beraksi akibat mengalami kecederaan.

“Dengan beberapa perlawanan persahabatan yang diharungi, kami tampil dengan lebih bersedia namun kami tahu kami berdepan cabaran yang sengit kerana semua pasukan yang bertanding memiliki kekuatan masing-masing.

“Dengan aksi di laman sendiri, ini membuatkan semangat kami berkobar-kobar dan saya berhasrat menebus kekecewaan dalam dua penampilan sebelum ini di bumi sendiri,” katanya.

Skuad futsal lelaki yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Chiew Chun Yong akan mengharungi dua lagi aksi persahabatan bertemu Mongolia pada 12 dan 13 Ogos ini sebagai aksi terakhir sebelum senarai akhir 14 pemain dimuktamadkan.

Mereka bakal membuka cabaran Sukan SEA 2017 dengan bertemu Myanmar pada 18 Ogos ini sebelum aksi kedua menentang Vietnam (20 Ogos), Indonesia (22 Ogos) dan menutup kempen bertemu Thailand (27 Ogos).

Artikel oleh : Harian Metro