Pasukan Mozai FT Dinobat sebagai Juara Raja Futsal 2018!

Pencarian pasukan futsal terbaik negara selama tiga bulan berakhir apabila Mozai FT dari Pahang telah dinobatkan sebagai Raja Futsal 2018 selepas mengalahkan 31 pasukan lawan dan memenangi wang tunai sebanyak RM100,000, hadiah utama wang tunai terbesar yang pernah ditawarkan untuk pertandingan futsal di Malaysia.

Ketua Pegawai Pemasaran Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Loh Keh Jiat bersama Pengurus Akaun Utama Vivo Technologies Sdn Bhd, Alan Bong; Ketua Pengurusi Great Eastern Life Malaysia, Dato Koh Yaw Hui; Naib Presiden Pemasaran Etika Beverages Sdn Bhd, Santharuban Thurai Sundaram; wakil Puma Malaysia, Benjamin Lim dan Pengurus Kandungan ERA, Dhan Andreas hadir untuk menyampaikan hadiah utama kepada pasukan juara pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam, pada minggu lepas.

Para penonton telah memberikan sorakan semangat sepanjang berlangsungnya perlawanan akhir yang getir tersebut, sekali gus menyaksikan Mozai FT mempamerkan kemahiran mereka yang hebat di dalam gelanggang dengan menewaskan TJJ FC untuk muncul sebagai juara. Naib juara TJJ FC pulang dengan hadiah berupa wang tunai bernilai RM20,000, sementara pemenang bersama tempat ketiga Bertam Ulu dan Jerro Tornado membawa pulang RM2,500 setiap kumpulan.

Pada hari yang sama, pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan yang mana lebih dari 3,000 pengunjung berpeluang mengambil bahagian dan meluangkan masa bersama keluarga. Antaranya termasuk klinik latihan yang dikendali oleh beberapa personaliti bola sepak tanah air seperti Safee Sali, Normala Yusoff dan Siti Suhaila; Cabaran Jaringan Gol Terpantas FIFA 19 serta bazar jenama tempatan oleh Propaganda Fest. Selebriti-selebriti seperti Aizat Amdan, Caprice & Giler Battle Crew dan Genji Busker juga telah menghiburkan para hadirin di gerai Digi. Untuk memeriahkan lagi acara perlawanan akhir kejohanan Raja Futsal 2018, rakan penganjur bersama turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik di gerai masing-masing.

Perlawanan pertama Raja Futsal telah bermula pada akhir bulan Julai yang lalu dengan anjuran pusingan kelayakan di peringkat negeri menerusi 14 pusat futsal di seluruh negara. Pertandingan tersebut dibuka untuk warga Malaysia yang berusia antara 18 hingga 30 tahun, dan pertandingan ini telah menyaksikan penyertaan daripada 860 pasukan dengan lebih daripada 5,000 peserta.

Maklumat lanjut mengenai Raja Futsal boleh didapati di rajafutsalmy.com

Start a Conversation