Pasukan Mana Raja Futsal 2018?

DIGI Telecommunications Sdn Bhd (Digi) bakal menganjurkan Kejohanan Raja Futsal bermula bulan depan, dengan tawaran hadiah utama tunai bernilai RM100,000 untuk dimenangi.

Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Loh Keh Jiat berkata, kejohanan yang terbuka untuk lelaki berusia 18 hingga 30 tahun itu akan diadakan di 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan, bermula di Selangor 29 Julai depan, manakala pusingan akhir bakal berlangsung 20 November di sekitar Lembah Klang.

Katanya, sepanjang empat bulan ini, dijangka lebih 800 pasukan akan terlibat dengan 64 pasukan dari setiap 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan bakal berentap di pusingan kelayakan peringkat negeri.

“Empat pasukan terbaik akan menerima tunai berserta pingat dan hadiah, namun hanya dua kumpulan terbaik dari setiap negeri kecuali Selangor dan Kuala Lumpur yang masing-masing melibatkan empat kumpulan terbaik pula akan mara ke pusingan akhir di mana pertaruhannya lebih tinggi iaitu tunai RM100,000 berserta pingat dan hadiah.

“Tempat kedua dalam pusingan akhir akan menerima RM20,000, manakala dua kumpulan di tempat ketiga pula akan menerima RM2,500 berserta pingat dan hadiah,” katanya.

Keh Jiat berkata, kejohanan itu buat pertama kalinya dianjurkan Digi bagi memanfaatkan kemeriahan musim bola sepak antarabangsa yang sedang berlangsung kini, selain sebagai usaha syarikat untuk terus berhubung dengan pelanggan sedia ada, baharu atau bakal pelanggannya.

“Sebagai penyedia perkhidmatan digital dengan jumlah pelanggan yang terbesar di Malaysia, adalah penting bagi Digi untuk terus berhubung dan kekal relevan kepada pelanggan kami.

“Sukan mampu menyatukan rakyat Malaysia dan kami telah memilih futsal yang merupakan satu daripada cabang sukan yang terkenal di kalangan remaja dan orang dewasa di Malaysia, sebagai satu platform untuk terus bersama pelanggan kami. Kejohanan ini turut memberi peluang kepada mereka mempamerkan kemahiran di samping berpeluang memenangi hadiah-hadiah hebat,” katanya.

Kejohanan Raja Futsal Digi yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM150,000 itu turut mendapat kerjasama Vivo, Great Eastern Life Assurance, Etika, Puma dan rangkaian media Astro Radio.

Dalam pusingan akhir Raja Futsal itu, ia akan diadakan dalam suasana seperti karnival dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan untuk orang ramai.

Pendaftaran untuk menyertai kejohanan itu dibuka secara rasminya sejak semalam menerusi  selama sebulan, dengan yuran penyertaan RM100 bagi setiap pasukan.

Sebanyak 25 pasukan pertama dari setiap negeri yang mendaftar akan menerima hadiah pendaftaran awal.

Artikel dari Sinar Harian.