Pasukan futsal wanita negara bakal uji Australia, Jepun

Tempoh kurang tiga bulan bersama skuad futsal wanita kebangsaan tidak melunturkan keyakinan pengendali negara, Muizzuddin Mohd Haris, dalam memastikan skuad kali ini meraih pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bekas pemain kebangsaan itu mengakui bakal berdepan cabaran sukar dalam temasya yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos depan, apatah lagi beraksi di laman sendiri.

Namun, Muizzuddin yakin dengan kualiti barisan pemain yang dimilikinya dalam memastikan misi meraih pingat mampu dilaksanakan.

"Saya sentiasa bersedia dengan cabaran yang diberikan. Saya akan pikul tanggungjawab ini sepenuhnya.

"Pengalaman yang ada akan saya curahkan untuk membantu pasukan ini memenangi pingat.

"Secara peribadi, saya menyasarkan untuk layak ke perlawanan akhir," katanya.

Latihan pusat kali ini menyaksikan seramai 20 pemain dipanggil dan 11 daripada mereka adalah pemain kelab Felda United.

Muizzuddin merancang untuk mengadakan aksi persahabatan di negara seperti Australia dan Jepun sebagai fasa akhir latihan pasukan, Ogos depan.

"Daripada segi permainan dan fizikal, kami sedar Australia, Uzbekistan dan Jepun merupakan pasukan yang mantap dalam futsal.

"Ia juga dapat membantu pemain untuk belajar bagaimana menyaingi pihak lawan selain dapat menguji kekuatan mental pemain sebelum menghadapi Sukan SEA."

Artikel : Stadium Astro

Foto : Fourthofficial