Para pemain IPT harus bijak mencari peluang

Tahun demi tahun Liga Futsal IPT terus dipertandingkan sejak 2010 dan kini ia sudah memasuki tahun ke 6 penganjuran. Pelbagai langkah yang dibuat oleh pihak penganjur untuk menambah baik liga ini supaya ia menjadi setaraf dengan liga utama kita iaitu Liga Futsal Kebangsaan. Boleh dikatakan liga ini merupakan liga kedua bagi Malaysia selain Liga Futsal Kebangsaan yang dijangka akan bermula pada januari 2017 ini.

Pada musim ini format baru diguna pakai bagi Liga Futsal IPT dimana ia dijalankan melalui pusingan liga home/away. Selain itu satu Piala tambahan dipertandingkan yang menempatkan 12 pasukan terbaik daripada Liga Super , Liga Premier dan juga Zon Borneo.

Perubahan format ini tampak memberikan satu kelainan bagi Liga Futsal IPT musim ini dan menjadikan ia lebih menarik dan kompetitif. Bermula dengan pusingan kelayakan, diteruskan dengan pusingan liga dan berakhir dengan Piala Futsal Liga IPT.

14572184_1399863406708688_2443978351210975510_n

Bagi kategori Liga Super, pasukan juara bertahan UiTM berjaya mengekalkan kejuaraan dan ia bertambah lebih manis apabila pasukan wanita UiTM berjaya menjuarai bagi kategori Divison Wanita. Bagi kategori Liga Premier, pasukan KPTM Bangi melakar sejarah apabila menjuarainya buat kali pertama. Piala Liga Futsal IPT yang baru sahaja menutup tirainya hujung minggu lalu dijuarai oleh pasukan UNIKL BMI.

Mengulas mengenai Liga IPT ini, menurut Wak Pivot pengasas Arena Futsal Malaysia beliau berpendapat Liga Futsal IPT ini semakin dekat dengan standard Liga Futsal Kebangsaan selepas beberapa tahun penganjuran.

"Jika dilihat pelbagai usaha dilakukan yang menyebabkan mereka semakin tinggi kualiti antaranya penganjuran yang berterusan, jurulatih semua mempunyai kelayakan daripada AFC dan penglibatan jurulatih luar serta bekas-bekas pemain kebangsaan" katanya.

Liga Futsal IPT ini juga merupakan batu loncatan buat para pemain untuk bermain di peringkat tinggi. Tidak disangkal lagi banyak pemain yang bermula dari liga ini sudah bermain di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa antaranya Ali Mahat, Saiful Nizam, Ahmad Fawzul Hadzir dan banyak lagi.

Mutu permainan para pemain IPT juga semakin hari semakin baik dengan pendedahan dan latihan yang dilakukan oleh setiap pasukan yang bertanding.

14606292_1399860226709006_6905624294623805713_n

Menurut jurulatih pasukan UNIKL Fitri Yatim beliau berpendapat bahawa rata-rata para pemain Liga Futsal IPT ini belum sampai ke tahap Liga Futsal Kebangsaan lagi tetapi mereka ini mempunyai kualiti yang sangat baik untuk bermain di liga utama kita.

"Para pemain muda ini (Pelajar IPT) mereka perlu memahami konsep sebenar permainan futsal. Jika mereka memahami konsep sebenar futsal ini, tidak mustahil mereka dapat bermain di LFK dan lebih tinggi lagi.Para pemain IPT ini mempunyai kualiti dan skill individu yang sangat baik. Saya berpendapat juga ini akan memberi kesan yang sangat positif kepada sukan futsal di negara kita kerana mereka adalah pelapis kepada futsal negara satu hari nanti" ujar Fitri.

Perkara ini juga mendapat sokongan daripada ketua jurulatih Felda United yang juga merupakan pengarah Teknikal Futsal UniKL iaitu Zul Azmi.

"Kita sedia maklum sebelum ini Liga Futsal IPT melahirkan ramai pemain untuk LFK. Mereka mempunyai kualiti yang baik jadi pemain-pemain Liga Futsal IPT perlu berusaha untuk mencari pasukan untuk bermain di LFK. Sekiranya mereka di beri peluang, dan terus bermain tidak ada sebab mereka tidak boleh bermain di peringkat yang lebih tinggi" kata beliau.

Kredit foto : Kejohanan Liga Futsal IPT