Nasib Futsal Di Sukan Sea 2017 Di Awang-awangan

Setelah teka-teki yang melibatkan khidmat ketua jurulatih skuad futsal negara dinoktahkan dengan nota ceria setelah Marcelo Serpa Coelho diberitakan bakal menyambung kontraknya selama setahun. Kini wujud pula cerita yang kurang enak untuk dijadikan halwa telinga para peminat futsal negara apabila futsal dikatakan tidak dipertandingan pada temasya dwitahunan serantau iaitu Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

Desas-desus ini semakin hangat apabila Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM ), Datuk Low Beng Choo memberikan kenyataan bahawa MOM akan memberi keutamaan kepada acara yang mampu memberikan pingat emas buat Malaysia. Beliau juga turut berkata futsal dan sukan-sukan lain supaya jangan menganjurkan acara tersebut sekiranya hanya untuk sebagai pelengkap jadual.

Sememangnya kenyataan ini tidak sewajarnya diperkatakan oleh seorang yang mempunyai pangkat tinggi dalam industri sukan di negara ini. Kenyataan yang dikeluarkan ini seolah-olah wujud sifat perbandingan diantara setiap sukan di negara ini.

Jika dilihat pada Sukan Sea 2015 di Singapura, kontinjen negara meraih 62 pingat emas iaitu di kedudukan ke-4 keseluruhan dibelakang Thailand, Singapura dan Vietnam. Sukan terjun menjadi penyumbang emas terbanyak dengan 8 pingat emas diperolehi diikuti pelayaran (7), boling dan memanah berkongsi 5 pingat emas dan skuash dengan 4 kutipan pingat. Bolasepak dan tinju pula gagal menghadirkan sebarang pingat namun sudah pastinya kedua-dua acara itu akan dipertandingkan sekali lagi pada edisi 2017 nanti walaupun kilauan pingat masih samar-samar untuk diraih oleh kontinjen negara.

IMG-20150922-WA0045

Berbalik kepada permasalahan utama iaitu kemungkinan ketiadaan futsal pada Sukan Sea di Kuala Lumpur nanti, pihak berkenaan harus melihat pencapaian skuad wanita yang memperoleh tempat ke-3 Asia dan skuad lelaki di kedudukan ke-3 Asean. Prestasi yang ditampilkan oleh kedua-dua pasukan juga semakin ke tahap yang lebih baik kini. Ianya patut membuka mata pihak berwajib kerana sukan seperti tinju dan olahraga merupakan lubuk emas buat negara seperti Thailand jika itu masalah yang diketengahkan oleh mereka mengenai beberapa acara sukan yang tidak seharusnya menganjurkan acara tersebut jika hanya menjadi pelengkap jadual.

Percayalah sekiranya futsal dipertandingkan pada kejohanan dwitahunan tersebut, segenap pelusuk stadium pasti akan dipenuhi oleh para peminat futsal negara seperti yang fenomena yang terjadi pada Liga Futsal Kebangsaan dan juga Kejuaraan Futsal Wanita AFC di Nilai,Negeri Sembilan tempohari. Sesungguhnya pencinta futsal tanah air menginginkan aksi futsal berkelas dunia dihadapan mata mereka.

Andai keputusan untuk tidak memasukkan futsal sebagai salah satu acara pada kejohanan tersebut ia amatlah menghampakan para peminat yang seringkali diberikan membanjiri stadium sewakti mana-mana aksi persahabatan yang melibatkan skuad futsal negara. Pencinta futsal pastinya mengharapkan agar sesuatu dapat dilakukan pihak terbabit supaya futsal dapat turut serta berada didalam perancangan untuk turut serta dipertandingkan pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur nanti.