Misi Baru Ayon Bersama Melaka United

Selepas cemerlang membantu pasukan SKN Kebumen FC meraih tempat kedua Pro Futsal League Indonesia 2018, Khairul Effendy atau lebih dikenali dengan panggilan Ayon mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama pasukan itu.

Difahamkan atas faktor keluarga dan perkerjaan tetap di Malaysia membuatkan Ayon tidak akan bersama pasukan SKN di Kejohanan Kelab Futsal AFF 2018 Julai depan.

Namun ini tidak bermakna Ayon tidak akan kembali beraksi di Indonesia musim depan.

Menurut laporan media, Ayon akan kembali bersama Melaka United selepas ini dalam baki saingan Liga Futsal Kebangsaan 2018 dan dia juga akan membantu Melaka di Kejohanan Kelab Futsal AFF 2018 nanti.

Apa yang menarik Melaka United yang muncul tempat ketiga musim lepas telah diundi bersama SKN Kebumen FC dalam kejohanan itu nanti. Turut diundi bersama dalam kumpulan B adalah wakil dari Thailand, Bangkok BTS FC dan dari Vietnam, Sanna Khanh Hoa FC.

Menarik untuk saksikan pertembungan Ayon menentang SKN Kebumen FC nanti. Kejohanan ini bakal berlangsung di Yogyakarta, Indonesia pada 15-22 Julai nanti.

Selamat maju jaya kami ucapkan kepada Ayon dan Melaka United!