Malaysia 'Tigirls' Kempunan Ke Perlawanan Akhir

Harapan skuad wanita negara untuk melakar satu lagi kejutan tidak kesampaian apabila dikecewakan oleh Jepun pada saingan separuh akhir malam semalam. Skuad kendalian Chiew Chun Yong terpaksa akur dengan lawan yang berstatus juara Asia dan memperagakan aksi kemas memukau penonton yang hadir.

Menyentuh tentang aksi pasukan Jepun yang diperkuatkan dengan kehadiran pemain yang berpangkalan di Sepanyol iaitu Nakajima Shiori dan ketajaman penyudah Kichibayashi Chikage berjaya memporak-perandakan barisan skuad negara dengan kelajuan tempo permainan dan juga pantas mematahkan gerakan pemain skuad negara. Ternyata Jepun berada di kelas yang tersendiri pada perlawanan ini dan seharusnya pemain skuad negara dapat mengambil pengajaran berguna bagi terus memperbaiki corak permainan mereka.

12038404_936947226366381_5423981673644316160_n

Hantaran tersusun serta bijak mencari ruang juga punca kepada kemenangan besar skuad yang dibimbing Arihara Masaaki ini. Hakikat ini perlu diterima oleh skuad negara bahawa laluan yang sangat sukar yang dihadapi oleh mereka pada perlawanan yang dipenuhi oleh hampir ribuan penyokong negara.

Namun, tidak wajar untuk menghukum skuad negara kerana apa yang telah dipersembahkan pada perlawanan ini membuktikan para pemain tidak menyerah kalah walaupun ketinggalan pada keseluruhan masa perlawanan. Jurang yang besar diantara kedua-dua pasukan menceritakan segalanya. Sokongan tidak berbelah bahagi dari penyokong turut menjadi penguat semangat buat para pemain untuk terus menyaingi skuad Jepun.

Walau bagaimanapun, jaringan menarik yang dihasilkan oleh penjaga gol negara, Sity Norazizah Jamal berjaya menceriakan penyokong negara buat seketika. Rembatan tepat beliau dari posisinya yang terus menewaskan penjaga gol Jepun boleh disifatkan sebagai antara gol tercantik kejohanan ini.

Kegigihan serta semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh Nur Izzati dan rakan sepasukan wajar diberikan pujian sehinggakan peminat di setiap pelusuk stadium memberikan tepukan hormat kepada mereka dan bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku selepas perlawanan tamat. Ianya adalah suatu perkara positif yang dapat dilihat.

Tidak mahu banyak berbicara soal taktikal dan corak permainan kerana sudah pastinya barisan kejurulatihan yang diketuai Chiew Chun Yong sudah mengenalpasti permasalah serta kelemahan yang timbul untuk diperbaiki bagi perebutan tempat ketiga apabila akan bertemu Thailand yang berlangsung jam 4.30 petang esok.

Ketua jurulatih negara, Chiew Chun Yong menyifatkan anak buahnya pasti akan dapat mempelajari sesuatu daripada perlawanan ini. ‘’ Jepun adalah sebuah pasukan yang kuat serta corak permainan dan kerjasama berpasukan mereka sangat baik. Oleh itu ianya menyukarkan anak buah saya menyaingi mereka’’, ujar beliau.

‘’ Keputusan perlawanan ini bukanlah satu keputusan yang bagus namun saya harap pemain mendapat sesuatu dari perlawanan ini dan dapat memperbaiki aksi mereka selepas ini’’, tambah beliau lagi.

Kredit Foto : SukanMalaysia.my

Artikel Oleh : Wak Meor