Malaysia Bermula Baik Di Kejohanan Futsal Komanwel

Skuad kebangsaan yang diketuai oleh ketua pasukan, Fitri Yatim bermula garang apabila berjaya menundukkan Vanuatu dengan jaringan 7 - 3 pada perlawanan yang berlangsung di ASB Sport Centre Wellington New Zealand.

image

Ternyata Vanuatu pasukan kerdil dari kepulauan Oceania itu bukan lawan sebenar pasukan futsal Harimau Malaya. 3 jaringan yang terhasil pada separuh masa pertama memperlihatkan penguasaan pasukan kebangsaan. Saiful Aula, pemain yang mewakili pasukan Selangor FA berjaya menghasilkan jaringan pertama berpunca daripada gerakan 'set piece' sepakan percuma setelah Khairul Effendy Bahrain dijatuhkan didalam kawasan 10 meter dari pintu gol lawan. Manakala gol ke-2 menyusul 4 minit selepas itu apabila kepantasan pemain kecil dan licik Ridzwan Bakri dari Sabah berjaya memperdaya penjaga gol Vanuatu, Jamie Miller yang banyak menyelamatkan percubaan skuad negara dan tolakan tepat Ridzwan berjaya disudahkan dengan mudah oleh Ammar Ashraf.

Dalam usaha Vanuatu untuk bangkit mencari gol penyamaan, Saiful Aula sekali lagi menambah derita buat pasukan yang digelar 'The Gideons' itu apabila dihukum oleh kealpaan penjaga gol mereka apabila mudah membolosi gawang yang terbuka luas dalam cubaan untuk bermain 'power play'.

Skuad kebangsaan terus garang pada babak kedua apabila pemain senior, Fawzul Hadzir menjaringkan gol ke-4 hasil dari rembatan cantik yang mengelirukan penjaga gol lawan. Menyusul selepas itu kelincahan Ridzwan Bakri sudah tidak dapat dibendung apabila berjaya menjaringkan gol pertama beliau untuk pasukan kebangsaan untuk Malaysia mendahului 5-0.

Tidak cukup dengan 5 jaringan tersebut, gol ke-6 Malaysia terus menjelma selepas gerakan menarik 3 pemain kebangsaan meloloskan Fitri Yatim untuk berdepan dengan penjaga gol Vanuatu dalam situasi 1 lawan 1. Ternyata pemain utama Felda United itu tenang bagi melakukan penyudah yang cukup tajam untuk skuad Malaysia terus selesa mendahului.

Tersentak dengan jaringan ke-6 tersebut, Vanuatu cuba bangkit dan akhirnya berjaya mendatangkan hasil apabila mendapatkan gol untuk kedudukan 6 - 1. Jaringan dari Vanuatu itu rupanya menjadi tonik tambahan kepada skuad negara apabila Malaysia terus membocori gawang Vanuatu dengan jaringan ke-7 Amar Ashraff hasil daripada lorongan Ridzwan Bakri yang kelihatan cukup serasi bergandingan bersama Ammar pada perlawanan semalam.

Namun, selepas jaringan tersebut pasukan Malaysia kelihatan sedikit hilang tumpuan setelah dihukum oleh 2 gol pada minit-minit terakhir oleh pasukan Vanuatu dan masa penuh perlawanan berkesudahan kemenangan berpihak kepada anak buah Marcelo Serpa dengan keputusan 7 berbalas 3.

Aksi pemain bakal bersambung hari ini 10 Julai 2015 dimana skuad kebangsaan bakal berdepan pasukan tuan rumah New Zealand yang ingin mencari kemenangan setelah tewas perlawanan pertama kepada Australia.