Malaysia "Ajar" Uzbekistan

Kejayaan mencatatkan kemenangan pada perlawanan pertama menentang Uzbekistan pastinya memberikan tonik berguna buat skuad wanita negara bagi menghadapi Hong Kong esok pada waktu yang sama.

Jentera serangan yang kelihatan agak gugup pada babak pertama membuktikan ketajaman yang diharapkan mampu hadir disaat permainan skuad negara dilihat kelihatan lebih tersusun pada babak kedua.

Tujuh jaringan yang dijaringkan pada babak kedua setelah memperoleh dua gol pada babak pertama sudah cukup untuk menceritakan keazaman setiap pemain untuk membuktikan bahawa mereka berada dilandasan yang tepat untuk mencapai sasaran layak ke separuh akhir.

Hatrik menerusi Norhawa Md Yasin dan Farahiyah Ridzuan manakala Nur Shazreen, Usliza Usman serta Fatin Shahida Azmi yang masing-masing menjaringkan satu gol berjaya meranapkan impian Uzbekistan untuk terus melebarkan rekod kemenangan terhadap anak buah Chiew Chun Yong.

Namun disebalik kejayaan tersebut, masalah yang ketara timbul apabila pemain kerap hilang fokus ketika sedang mendahului. Sekiranya kesilapan sedemikian berterusan pada perlawanan mendatang, ianya sudah pasti akan menjadi penghalang buat skuad negara untuk mara lebih jauh pada kejohanan julung kali diadakan ini.

Fokus pada tahap yang tinggi perlu diterapkan oleh para pemain pada keseluruhan permainan dan sudah pastinya Chiew Chun Yong bersama Jamhuri Zainuddin turut memandang serius terhadap kesilapan yang dilakukan oleh anak buah mereka.

Pengendali skuad negara, Chiew Chun Yong nyata puas dengan kejayaan pertama ini." Hari ini anak buah saya mengikut segala arahan yang diberikan dan segalanya berjalan dengan lancar apabila berjaya menewaskan Uzbekistan buat kali pertama sejak 2007".
Namun, beliau turut mengakui bahawa masih banyak yang perlu diperbaiki kerana kelalaian anak buahnya melepaskan 2 gol dalam masa yang pantas walaupun sudah mendahului dengan kelebihan 4 gol pada suatu ketika.

"Corak bertahan yang pemain amalkan ketika itu tidak sesuai dengan taktikal yang saya terapkan dan kemudiannya mereka mengikuti taktikal saya, akhirnya kita mencapai kemenangan bermakna ini", tambah beliau lagi.

Kemenangan ini turut membuka mata banyak pihak yang memperlekehkan keupayaan skuad negara sebelum perlawanan dan apa yang dibuktikan oleh para pemain dengan persembahan yang meyakinkan. " Ini membuktikan dengan pelan jangka panjang dan sistematik, saya yakin skuad wanita mampu untuk menjadi salah sebuah pasukan yang sangat baik", ulas ketua jurulatih negara itu.

Mengenai persiapan untuk perlawanan menentang Hong Kong esok, beliau menganggap pertemuan tersebut sangat penting dan dijangka Hong Kong akan memberikan tentangan yang sengit kerana lawan mempunyai corak bertahan yang baik dan corak permainan yang laju. "Kekuatan mental sangat diperlukan oleh pemain saya menghadapi perlawanan esok", katanya lagi.

Misi skuad negara diteruskan esok apabila akan bertemu Hong Kong jam 4.30 petang. Diharapkan semoga para penyokong dapat terus memberikan sokongan buat skuad negara bagi menjadi sebahagian daripada semangat para pemain untuk berjuang.

Foto : http://www.the-afc.com/

Artikel Oleh : Meor AFM