Kursus Awalan Rintis Bakat Baru Jurulatih Negeri Perak

Jawatankuasa Futsal, Bolasepak Wanita dan Bolasepak Pantai Persatuan Bolasepak Perak ( PAFA ) yang diketuai oleh Datuk Muhammad Yadzan Mohammad terus mempergiatkan usaha dalam mengembangkan sukan futsal tanah air apabila berjaya menganjurkan Kursus Awalan Kejurulatihan Futsal PAFA/FAM 2016.

Kursus yang telah dijalankan pada 22 hingga 24 April 2016 bertempat di Majlis Sukan Negeri ( MSN ) Perak itu berjaya menghimpunkan seramai 37 orang bakal jurulatih dari seluruh negeri Perak dan mereka dibimbing oleh Instruktor AFC iaitu Encik Chiew Chun Yong.

Awalan 2

Matlamat utama kursus ini adalah bagi melahirkan jurulatih-jurulatih berkualiti dalam kalangan anak Perak sendiri bagi memacu kegemilangan sukan futsal buat negeri Perak khasnya buat masa akan datang.

Selama 3 hari para peserta berkampung di MSN Perak tersebut, pelbagai ilmu serta kemahiran asas yang diperlukan oleh seorang jurulatih telah diajarkan kepada setiap peserta yang hadir. Terdapat 4 peserta wanita turut melibatkan diri pada kursus awalan ini.

Awalan 3

Encik Chiew Chun Yong berpendapat bahawa usaha yang dilakukan PAFA itu merupakan satu usaha yang sangat bermanfaat buat semua jurulatih di Perak.

'' Pihak penganjur telah memberikan landasan yang tepat kepada mereka ini dan secara tidak langsung dapat melahirkan ramai lagi bakat jurulatih tempatan. Saya juga melihat ramai peserta yang menyertai kursus ini mempunyai potensi cerah bagi membantu perkembangan futsal di negeri Perak''.

'' Perak merupakan antara salah satu negeri yang menunjukkan peningkatan dalam futsal sejak 2 tahun kebelakangan ini '' tambah beliau lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada PAFA dan juga Datuk Muhammad Yadzan serta semua urusetia kursus diatas inisiatif yang telah direncanakan ini dan dan mengharapkan pelbagai usaha serta kerjasama dapat dijalankan lagi untuk terus meningkatkan kualiti kejurulatihan buat negeri Perak.

Awalan 5