Kursus AFC Futsal Coaching Certificate Level 1

Kolej Komuniti Mas Gading dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Sarawak, Vikings Futsal Sarawak serta Kelab Futsal Petra Jaya telah berjaya menganjurkan Kursus AFC Futsal Coaching Certificate Level 1.yang telah berlangsung selama 6 hari bermula dari 1 Mei sehingga 6 Mei 2015 di Sports Planet Demak Kuching, disertai oleh 18 orang peserta dari seluruh negeri Sarawak dan masing masing seorang peserta dari Negeri Kelantan serta Negara Brunei Darussalam.

Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk memberikan pengetahuan kepada jurulatih tentang sistem latihan futsal dan penggunaan kaedah serta pendekatan yang betul di dalam sesi latihan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk melahirkan lebih ramai lagi jurulatih yang diiktiraf dan memenuhi kehendak pensijilan serta pentauliahan sebagai jurulatih futsal secara amnya.

Majlis Penutupan Kursus AFC Futsal Coaching Certificate Level 1 ini disempurnakan oleh Tuan Haji Mohamad Fuad bin Haji Mohamad Sapri, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Futsal, Bolasepak Pantai dan Wanita, Persatuan Bolasepak Sarawak, selain dihadiri oleh Encik Chiew Chun Yong, AFC Futsal Elite Instructor, Encik Awang Zaifulizan Abdul Rahman bin Awang Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah Wilayah, Vikings Futsal Sarawak & Borneo Regional dan Cik Suharyati binti Sulaiman, wakil Pengarah Kolej Komuniti Mas Gading.

Pihak Kolej Komuniti Mas Gading sebagai penganjur kursus ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak AFC, Persatuan Bolasepak Sarawak dan Vikings Futsal Sarawak Borneo Regional di atas kerjasama dan sokongan yang padu dalam membantu pihak mereka menjayakan kursus ini dan berharap kerjasama yang erat ini akan dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang dan diharap kursus sebegini dapat membantu membangunkan mutu sukan futsal di Sarawak khususnya dan di Malaysia amnya.