Kuantan Rangers "A" Juara Edisi Sulung KR5S

Pasukan Kuantan Rangers 'A' muncul juara edisi sulung Kejohanan Futsal Kuantan Rangers (KR5S) apabila mengetepikan tentangan pasukan Yayasan Pahang 3-1 di perlawanan akhir semalam.

Selaku juara Kuantan Rangers membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM3,000 manakala Yayasan Pahang mendapat RM2,000.

Tempat ketiga pula dimenangi UDFF dari Kemaman yang menewaskan OT Team menerusi tendangan penalti.

Kejohanan ini diserikan lagi dengan kehadiran Presiden Kuantan Rangers FC Tengku Arif Temenggong Pahang, YAM Tengku Fahad Mua'adzam Shah dan juga Naib Presiden, YM Tengku Aidy Ahmad Shah.

Satu pujian harus diberikan buat Tengku kerana berada di kejohanan sepanjang hari untuk memberi sokongan serta melihat bakat-bakat baru ini. Malah Tengku juga perkenan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Untuk makluman kejohanan yang berlangsung di padang futsal Taman Gelora, Kuantan, Pahang ini telah menghimpunkan 16 pasukan untuk merebut kejuaraan edisi pertama ini. Walaupun pihak penganjur menerima penyertaan yang amat memberangsangkan namun mereka terpaksa menghadkan kepada 16 pasukan sahaja untuk menjaga kualiti kejohanan ini.

Objektif kejohanan ini adalah untuk memberikan peluang dan mengesan bakat-bakat baru untuk diketengahkan ke satu tahap yang tertinggi seiring dengan objektif penubuhan pasukan Kuantan Rangers FC sendiri.

Tahniah kami ucapkan kepada pihak penganjur serta semua pemain dan barisan kejurulatihan yang telah bekerja keras untuk kejayaan ini.