Kuantan Rangers Buru Kemasyhuran Di Bumi Brunei

Setelah membuat persediaan rapi selama beberapa bulan, Kuantan Rangers FC kini bersedia menampilkan belang mereka di pentas lebih kompetitif apabila mengambil bahagian di Liga Futsal Brunei (LFB) yang akan berlangsung dari April hingga November depan.

Bagi Presiden Kuantan Rangers, YAM Tengku Fahad Mua'adzam Shah, beliau meletakkan harapan tinggi terhadap barisan pemainnya agar dapat menyerlah di pentas tinggi selepas didedahkan dengan beberapa siri perlawanan persahabatan berkualiti selain latihan berintensiti tinggi.

"Bukan mudah untuk mendapat jemputan bermain di liga luar negara dan kami begitu menghargai peluang yang diberikan oleh Brunei FA ini. Ia satu penghormatan buat Kuantan Rangers. Terima kasih juga kepada Pahang FA dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang sentiasa suportif.

"Bagi kami, memang kami tetapkan satu sasaran yang tinggi. Kami telah bekerja keras sejak beberapa bulan lalu dan saya percaya kita sudahpun mempunyai sebuah skuad mantap, berdaya saing dan berbakat besar.

Jadi harapan saya, mereka akan dapat menampilkan potensi terbaik mereka dan menyerlah di pentas tertinggi. Ianya sesuatu yang sukar, tetapi kami percaya boleh melakukannya," ujar Tengku Fahad.

Kuantan Rangers adalah satu daripada dua pasukan jemputan selain Miri FA dari Sarawak yang akan beraksi di liga membabitkan 10 pasukan itu, dan mereka akan membuka tirai saingan dengan menentang wakil tuan rumah juga juara bertahan, Kota Junior (KJ) FC pada 15 April depan.

Untuk rekod, saingan LFB akan membabitkan lima pasukan yang beraksi musim lalu, dua daripada pusingan kelayakan, dua pasukan jemputan dan juga pasukan pembangunan futsal Brunei (B-20).

"Kita sedar KJ pasukan yang sangat kuat, dengan dibarisi ramai pemain dan bekas pemain kebangsaan yang cukup berpengalaman dan berkemahiran tinggi. Jadi saya teruja menantikan saingan bermula. Perlawanan yang sukar tetapi tiada tekanan ke atas kami.

“Jika anda mahu memenangi liga ini, maka anda perlu tewaskan pasukan yang terbaik. Memang itu asasnya dalam apa sahaja pertandingan. Kami pasukan bukan pilihan dan masih lagi sebuah kelab yang baru tetapi kami telah menetapkan satu sasaran tinggi bukan sahaja terhadap liga ini tetapi juga secara jangka panjang. Jadi ini adalah cabaran besar pertama untuk pembangunan kami."

Sementara itu, Naib Presiden Kuantan Rangers, YM Tengku Aidy Shah pula berpendapat pemainnya mempunyai motivasi yang diperlukan untuk menyerap segala tekanan, mengetepikan rasa gementar seterusnya mempersembahkan satu permainan menghiburkan apatah lagi mereka sedang menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

"Skuad ini masih muda dan itu adalah aspek paling mengujakan saya, ruang untuk terus berkembang adalah besar. Mereka bekerja keras untuk pasukan ini dan kita dapat lihat hasilnya. Kita sentiasa belajar dan sentiasa melangkah ke depan.

"Melihat kepada persiapan dan kekuatan pasukan, saya rasa tidak mustahil kita boleh menamatkan liga di kelompok tiga terbaik. Itu pandangan saya, ini juga peluang untuk pemain buktikan kredibiliti dan kemampuan mereka. Kita tunjukkan di Brunei, Kuantan Rangers bukan calang-calang pasukan."

Pasukan Kuantan Rangers dijadual bertolak ke Brunei pada awal pagi 14 April.