KL Ally Group Sudah Bersedia!

Walaupun aksi wanita di Liga Futsal Kebangsaan 2017 musim ini agak kurang meriahnya berbanding musim-musim yang lalu berikutan kurang penyertaan namun saingan 2 pasukan teratas untuk merebut kejuaraan liga memberi sedikit kehangatan pada pehujung liga musim ini.

Felda United yang kini mengumpul 22 mata diekori rapat pendatang baru iaitu pasukan KL Ally Group yang berada di tangga kedua dengan 19 mata. Felda United yang memerlukan 2 kemenangan minggu ini untuk dinobatkan juara liga musim ini sudah pasti tidak akan diberikan secara mudah oleh pasukan KL Ally Group.

Kedua-dua pasukan ini akan bertembung di aksi terakhir pada hari ahad ini dan perlawanan ini dijangkakan menjadi penentuan dimana jika KL Ally Group memenangi perlawanan itu mereka berpeluang untuk menjadi juara jika mempunyai jaringan yang lebih besar dari Felda United.

Menurut ketua pasukan KL Ally Group, Steffi Sarge Kaur, sasaran utama mereka adalah untuk berada di kedudukan tiga terbaik bagi musim ini, namun melihat peluang yang ada untuk merebut kejuaraan ini, mereka akan melakukan sebaik mungkin pada dua aksi terakhir minggu ini.

"Kesemua pemain KL Ally Group sudah bersedia mental dan fizikal untuk aksi terakhir minggu ini dan sudah pasti perlawanan menentang Felda United nanti merupakan aksi penting dan kami mahu memenangi perlawanan itu", kata Steffi.