Khairul Effendi Enggan Dibuai Kejayaan Di KL2017

Tonggak utama skuad futsal negara, Mohd Khairul Effendi Bahrin, menyarankan rakan sepasukan  melupakan kejayaan muncul naib juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan lalu dan fokus untuk saingan AFF di Vietnam, bulan depan.

Bagi Khairul Effendi, hakikatnya skuad negara belum lagi berjaya meraih kejuaraan antarabangsa walaupun meraihh perak dalam Sukan SEA.

Kerana itu, dia mengakui setiap pemain perlu kekal dengan keazaman dan komitmen tinggi dalam saingan AFF.

"Sukan SEA sudah berakhir dan jurulatih, Chew Chun Yong, mahu kami memberi fokus untuk kejohanan akan datang. Kami harus mempamerkan aksi lebih cemerlang untuk muncul juara," katanya.

Malaysia diundi bersama-sama Thailand, Laos dan Timor Leste bagi kejohanan yang bakal bermula 24 Oktober nanti.

Tambah Khairul Effendi, kejayaan memberi saingan kepada Thailand dalam Sukan SEA lalu membuktikan skuad negara sudah merapatkan jurang dengan kuasa besar Asia itu.

Namun, skuad negara juga perlu berwaspada berdepan lawan seperti Vietnam dan Indonesia.

"Beraksi dalam Sukan SEA mengajar kami supaya lebih matang dalam gelanggang dan jurang di antara kami dan Thailand tidak terlalu jauh dan kami berazam untuk melakar kemenangan dalam aksi akan datang."

Artikel oleh Stadium Astro/Astro Arena