Ketua Jurulatih Futsal Negara: Siapa Sebenarnya Chiew Chun Yong ?

Penggiat futsal tanah air pastinya sudah mengetahui berkenaan perlantikan jurulatih berpengalaman luas, Chiew Chun Yong sebagai ketua jurulatih skuad futsal negara yang baru bagi menggantikan tugas Marcelo Serpa yang kontraknya tidak disambung oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Perlantikan tersebut diputuskan dalam satu mesyuarat exco FAM yang diadakan pada 15 Ogos lalu.

Nama Chiew Chun Yong bukanlah asing dalam kancah futsal negara kerana beliau juga merupakan bekas pemain yang pernah mencurahkan jasa kepada pasukan kebangsaan dan antara pengalaman manis yang dikecapi beliau selaku pemain adalah membantu skuad negara dalam saingan KL World 5s 2003 di Stadium Putra Bukit Jalil dan juga meraih tempat kedua serta ketiga pada Kejuaraan Futsal AFF 2003 dan 2007 di Kuantan dan Bangkok.

Pengendali berusia 43 tahun itu turut berpengalaman luas dalam membimbing pasukan dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan seperti pasukan wanita Selangor yang menjuarai Liga Futsal Kebangsaan 2015 dan naib juara Piala Futsal Kebangsaan 2015 serta banyak lagi kejayaan yang beliau nikmati bersama pasukan lain yang pernah dibimbing.

Kemampuan beliau dalam membawa pasukan futsal wanita kebangsaan menduduki tangga ke-4 dalam Kejuaraan Futsal AFC tahun lalu juga telah membuka mata banyak pihak yang sebelum ini memandang sepi keupayaan pasukan tersebut walaupun pelbagai kesulitan dihadapi sebelum bermulanya pertandingan tersebut.

IMG-20160903-WA0013

Mengulas mengenai perlantikan ini beliau menetapkan beberapa perkara yang akan beliau titikberatkan dalam menggalas tugas ini.

" Dalam usaha untuk kembali membina pasukan kebangsaan ini, penglibatan pemain muda juga menjadi tumpuan saya dalam menyediakan pasukan dalam tempoh 2 tahun mendatang bagi menghadapi Sukan Sea, Sukan Dalam Dewan Asia dan Kejuaraan Futsal AFF ", jelas beliau ketika ditemubual.

" Terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki secara total terutamanya berkaitan ketiadaan liga futsal domestik bagi menghadapi saingan Kejuaraan Futsal AFF 2016 berbanding negara-negara serantau lain yang kini semakin aktif mengembangkan sukan futsal di negara mereka. Ini merupakan cabaran terbesar buat saya, namun apa jua cabaran yang dihadapi ini bukanlah perkara baru buat saya dan saya sentiasa memandang kedepan untuk bekerjasama dengan pasukan dan para pemain".

Beliau yang juga merupakan Instruktor Elit AFC sudah sinonim dengan futsal di Malaysia dan semoga kepakaran serta pengalaman luas beliau dalam sukan ini dapat ditagih pasukan futsal negara bagi menghadirkan sinar yang lebih cerah pada masa akan datang.

Berikut adalah info tentang pengalaman beliau selaku jurulatih dan pemain :

Pasukan Kebangsaan

Skuad Wanita ( Ketua jurulatih )

- Kejuaraan Futsal AFC 2015 ( Nilai )

- Sukan Dalam Dewan Asia 2009 ( Vietnam )

- Sukan Dalam Dewan Asia 2007 ( Macau )

- Sukan Sea 2007 ( Korat )

Skuad Lelaki ( Penolong jurulatih )

- Kejuaraan Futsal AFF 2009

Pasukan Negeri

- Penasihat Teknikal & Ketua Jurulatih

Pasukan Lelaki dan Wanita Selangor  ( 2014-2016 )

Pasukan Lelaki dan Wanita PKNS FC  ( 2010-2014 )

- Ketua jurulatih

Thailand Bangkok Thonburi University ( 2010-2011 )

KL Figos Real Sports Arena FC ( 2008-2010 )

Pulau Pinang FA Futsal ( 2004-2006 )

 

Pemain

Pasukan Kebangsaan

- Kejuaraan Futsal AFF 2007 ( Bangkok )

- Kejuaraan Futsal AFC 2006 ( Uzbekistan )

- Kejuaraan Futsal AFC 2004 ( Macau )

- Kejuaraan Futsal AFC 2003 ( Tehran )

- Kejuaraan Futsal AFF 2003 ( Kuantan )

- KL World 5s 2003 ( Kuala Lumpur )

- Malaysia Tour 2003 ( Amsterdam )

Pasukan Negeri

Pulau Pinang FA 

- Liga Futsal Kebangsaan Felda FAM 2006

- Liga Futsal Kebangsaan Celcom FAM Grand Final 2005

- Liga Futsal Kebangsaan Celcom FAM Zon Utara 2005

- Liga Futsal Kebangsaan Hyundai FAM 2004

- Liga Futsal Kebangsaan FAM Lumut 2002

 

Kredit foto : Nukilan