Keputusan Tiga Aksi Persahabatan Skuad Futsal Harimau Malaysia Di Bangkok

Skuad futsal kebangsaan, Harimau Malaysia mencatat sekali menang, sekali seri dan sekali tewas pada tiga perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand sebagai persiapan terakhir sebelum menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Bangkok bermula Isnin ini (23 Januari 2017).

Selepas berlepas awal ke Bangkok pada 15 Januari lalu, skuad Harimau Malaysia berjaya menewaskan Royal Thai Navy 5-3 pada perlawanan pertama (16 Januari), seri 5-5 dengan Bangkok BTS FC (18 Januari) dan tewas 3-1 kepada Thai Port FC, hari ini.

Ketua jurulatih futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong berkata, tiga perlawanan menentang kelompok pasukan teratas Liga Futsal Thailand itu telah memberi ruang dan peluang secukupnya untuk beliau mencuba taktikal dan strategi pasukan.

"Sepanjang tiga perlawanan persahabatan ini, saya dapati para pemain telah berjaya mempamerkan taktikal permainan dan strategi pasukan dengan cukup baik terutama apabila berdepan lawan yang kuat.

"Sudah tentu saya mencuba beberapa taktikal permainan dan strategi serta kombinasi antara gabungan pemain senior dan pemain muda. Mereka nampaknya berjaya menampilkan persembahan yang agak mengagumkan dan mengikut arahan dengan baik.

"Tapi masih ada banyak ruang yang boleh dan perlu diperbaiki memandangkan ini pasukan yang baru dibentuk. Apa pun saya berasa positif kerana mereka semakin menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan," kata Chun Yong kepada www.fam.org.my selepas perlawanan, petang tadi.

Pada aksi pertama ketika menewaskan Royal Thai Navy 5-3, gol-gol skuad Harimau Malaysia dijaringkan oleh Syed Aizad Daniel Syed Nasir (2), Azri Rahman (2) dan Ridzwan Bakri.

Pada aksi kedua bertemu Bangkok BTS FC yang berkesudahan seri 5-5 pula, gol-gol skuad Harimau Malaysia telah dijaringkan oleh Azri (2), Khairul Effendy Bahrin, Akmarulnizam Idris dan Saiful Nizam Ali.

Sementara pada aksi ketiga ketika tewas 3-1 kepada Thai Port FC, gol tunggal skuad Harimau Malaysia dijaringkan oleh Akmarulnizam.

Skuad Harimau Malaysia bakal membuka kempen Kejuaraan Futsal AFF 2016 bagi saingan Kumpulan B bertemu Indonesia pada Isnin ini (23 Januari) diikuti aksi kedua bertemu Laos pada Selasa (24 Januari) dan aksi ketiga bertemu Myanmar pada Rabu (25 Januari).

 Jika layak ke separuh akhir, mereka akan bertemu pasukan dari Kumpulan A yang terdiri daripada Thailand, Brunei dan Timor-Leste pada 27 Januari (Khamis) untuk memburu tempat ke pentas final pada 29 Januari (Ahad).

 Kesemua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok.

Sumber : FAM