Kekal Fokus Dan Ikut Arahan - Chiew Chun Yong

Pasukan futsal B-20 negara berjaya menewaskan pasukan Bahrain 6-1, di aksi ketiga mereka di Kejohanan Futsal B-20 AFC. Para pemain kendalian Chiew Chun Yong ini bangkit dari dua kekalahan sebelum ini dan menampilkan satu permainan yang baik dan bertenaga untuk membenam cabaran pihak lawan .

Bermula saja perlawanan ini pasukan negara tidak menunggu lama dan terus memberikan asakan kepada pihak lawan dan kapten pasukan Aidil Shahril Rosli berjaya membuka jaringan buat negara pada mini5 ke 16 sebelum Awalludin Mat Nawi menambah lagi 3 gol buat pasukan negara.

2 lagi gol Malaysia berjaya dijaringkan oleh Amirul dan Nurasyraaf manakala gol saguhati Bahrain dijaringkan oleh Mohamed melalui sepakan percuma.

Esok pasukan negara akan beraksi di perlawanan ke-4 mereka di kejohanan ini menentang pasukan Iraq. Menurut jurulatih pasukan negara dia menanti perlawanan ini untuk melihat sejauh mana tahap pasukan kita dengan pasukan yang lebih bersedia dan matang.

"Perlawanan menentang Iraq adalah cabaran yang kuat buat para pemain memandangkan mereka antara pasukan terkuat dalam kumpulan ini. Malah para pemain mereka juga mempunyai kelebihan saiz fizikal yang besar, teknik individu dan kekuatan mental yang baik".

"Saya tahu cara mereka bermain dan saya mempunyai perancangan dan tektikal untuk beraksi menentang mereka. Jika para pemain kekalkan fokus mereka dan ikut tektikal yang diberikan saya percaya kita mampu beri cabaran sengit dan memenangi perlawanan esok", kata Chiew Chun Yong.

Foto : AFC