Kejutan Demi Kejutan Di Minggu Pertama

Pelbagai aksi menarik dan kejutan oleh kesemua pasukan yang beraksi di minggu pertama Liga Futsal Kebangsaan 2015 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam.

Liga yang kita nantikan selama ini akhirnya berlangsung dan boleh dikatakan kesemua 12 Pasukan Lelaki dan 10 Pasukan Wanita menunjukkan satu corak permainan yang sangat menarik sepanjang minggu pertama ini.

Kejutan demi kejutan telah menarik perhatian kesemua penyokong yang hadir ke stadium minggu lalu antaranya adalah dua kemenangan diperoleh pasukan baru Quilmes Ambush ke atas MPSJ dan Pahang. Perkara ini telah membuka mata pasukan lain untuk bersedia untuk menghadapi pasukan yang baru ditubuhkan ini. Boleh dikatakan majoriti pemain Pasukan Quilmes ini pertama kali bermain di Liga Futsal Kebangsaan. Mereka sebelum ini adalah pemain futsal amatur.

Kini Pasukan Quilmes Ambush menduduki tangga kedua liga berkongsi mata bersama Felda United dengan 6 mata.

Satu lagi kejutan yang berlaku di minggu pertama ini adalah kekalahan yang diterima oleh Pasukan MPSJ ke atas pasukan Quilmes Ambush dan juga Pasukan T-Team. Pasukan MPSJ yang merupakan finalis musim lepas masih mencari rentak permainan dan keserasian apabila mereka kini banyak menampilkan barisan-barisan pemain muda.

Ayuh semua peminat hadirkan diri anda ke kompleks sukan negara minggu ini untuk menyaksikan dan menyokong kesemua pasukan yang akan bertanding.