Jojo kembali beraksi di Liga Futsal Kebangsaan

Ahmad Hanif bin Sarmin atau lebih dikenali dengan panggilan Jojo dikatakan bakal kembali ke arena futsal apabila beliau bakal beraksi bersama pasukan Selangor di Liga Futsal Kebangsaan musim 2015. Pemain yang pernah mewakili Malaysia ini telah meninggalkan arena futsal buat seketika akibat kecederaan dan kini beliau kembali.

Ikuti sesi temu bual wartawan kami bersama pemain ini.

AFM : Boleh kenalkan sedikit mengenai diri anda?
Jojo : Nama saya Ahmad Hanif bin Sarmin atau lebih dikenali dengan nama Jojo terutama di arena futsal ini. Saya berumur 29 tahun dan sudah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata. Kini menetap di Johor dan saya bekerja di Majlis Sukan Negeri Johor.

AFM : Anda adalah seorang pemain futsal yang boleh dikatakan pernah menjulang beberapa kali Piala Liga Futsal Kebangsaan. Boleh ceritakan karier anda sebagai pemain futsal?
Jojo : Alhamdulillah itu adalah rezeki dan pengalaman yang saya tidak boleh lupakan. Karier futsal saya bermula pada tahun 2003 ketika saya mula bermain dengan pasukan Academy Old Boys (AOB) satu pasukan yang cukup disegani satu ketika dulu. Kemudian saya bermain bersama pasukan Johor pada tahun 2004 di Liga Futsal Kebangsaan yang pertama kali diaadakan dan ketika itu pasukan Johor mendapat tempat kedua setelah tewas di tangan PDRM FA dengan jaringan 2-1. Pada tahun 2006 dan 2007 saya berjaya membantu pasukan Johor menjulang piala Liga Futsal Kebangsaan pada musim itu. Kemudian saya telah berhijrah kepasukan Figos RSA FC dan pasukan terakhir saya adalah pasukan PKNS FC.

AFM : Anda pernah mewakili pasukan futsal Malaysia? Boleh kongsi bersama kami pengalaman tersebut?
Jojo : Pengalaman bersama pasukan kebangsaan adalah satu pengalaman yang saya tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Apabila saya diberi peluang untuk dapat beraksi dengan purata permain terbaik di Malaysia adalah satu pengalaman yang amat manis. Saya dapat beraksi bersama pasukan kebangsaan di kejohanan AFF, AFC, Sukan Sea dan jugak KL World 5. Memang ternyata bila beraksi dengan team seperti tThailand, Uzbekistan dan Argentina satu pengalaman serta proses pembelajaran yang sangat berguna untuk saya dan juga team.

AFM : Kali terakhir anda beraksi di liga futsal kebangsaan bersama pasukan Figos RSA FC. Kemudian anda berhijrah ke pasukan PKNS tetapi anda tidak beraksi di pusingan grand final bersama mereka. Apakah terjadi? Boleh kongsi bersama kami?
Jojo : Ketika bersama PKNS saya tidak dapat bermain pada grand final Liga Futsal Kebangsaan kerana kecederaan ketika beraksi bersama majikan saya Majlis Sukan Negeri Johor di Kejohanan MAKSAK yang berlangsung di Sarawak. Sekaligus saya tidak dapat membalas kepercayaan kepada barisan pengurusan dan jurulatih yang dibimbing oleh Coach Yong dan Coach Jamhuri serta rakan-rakan yang beraksi ketika bersama di pasukan PKNS. Walaupun agak sedih tidak dapat membantu pasukan saya namun Alhamdulillah pasukan PKNS champion ketika itu.

AFM : Setelah beberapa musim menghilangkan diri dari arena futsal kini difahamkan anda akan kembali beraksi bersama pasukan Selangor? Boleh ceritakan sedikit.
Jojo : Habis Liga Futsal Kebangsaan musim 2011/2012 saya tidak bermain futsal setelah mengalami kecederaan tersebut. Namun saya berjaya sembuh dengan cepat dari kecerderaan dan saya bermain bola sepak bersama pasukan JMFFC salah satu pasukan yang terbaik di Johor Bahru. Saya hanya bermain futsal bersama rakan-rakan ketika waktu lapang. Untuk liga pada musim ini yang akan bermula tidak lama lagi Alhamdulillah saya telah dipanggil oleh bekas jurulatih saya di PKNS untuk beraksi bersama pasukan Selangor. Pada awalnya agak sukar untuk saya terima kerana saya ada komitmen dengan pekerjaan. Namun Alhamdulillah saya telah mendapat pelepasan dari pengarah Majlis Sukan Negeri Johor iaitu En Mohd Radzi untuk beraksi bersama Selangor di Liga Futsal Kebangsaan musim 2015.

AFM : Apakah harapan anda untuk diri sendiri dan pasukan.
Jojo : Harapan saya hanya untuk membalas kepercayaan jurulatih dan pasukan baru ini dan agar saya dapat membantu pasukan Selangor menjulang kejuaraan Liga Futsal Kebangsaan musim 2015 ini.

Kami dari Arena Futsal Malaysia ingin mengucapkan semoga berjaya buat Jojo dan juga pasukan Selangor.