Jatuh Bangun Kami Tetap Bersama - Yazeed Hamzah

Pasukan futsal Pahang tampil dengan harapan baru bersama barisan pemainnya yang boleh dikatakan serba lengkap untuk menghadapi LFK 2017 ini.

Kehadiran beberapa pemain terbaik bersama pasukan Pahang pada kali ini membuatkan Pahang antara pasukan pilihan bagi musim ini.

Antara pemain baru yang bakal beraksi bersama pasukan Pahang adalah Azrin Adnan, Ridzwan Bakri, Abdul Rahman, Muhammad Hazreen, Mohd Adny, Shamsul Akmar dan Fariq Muhammad.

Gabungan pemain berpengalaman ini bersama pemain tempatan yang merupakan anak jati Pahang pasti akan memberikan saingan sengit kepada pasukan lawan.

Menurut ketua jurulatih pasukan Pahang, Yazeed Hamzah beliau berkata sehingga kini kesemua persiapan berjalan dengan lancar.

"Kesemua para pemain sudah bersedia untuk menghadapi LFK 2017 pada kali ini. Perlawanan pertama esok menentang Perak amat penting bagi kami dan sudah semestinya kemenangan pertama kami perlukan untuk membakar semangat pasukan ini," kata Yazeed.

"Dengan adanya beberapa pemain baru dalam pasukan saya berharap mereka semua dapat bekerjasama dengan baik.  Kami jatuh bangun tetap akan bersama," tambahnya.

Yazeed Hamzah meletakkan sasaran agar pasukan Pahang mampu peroleh tiga tempat terbaik bagi LFK 2017 ini. Pahang akan menentang pasukan Perak esok dan perlawanan kedua pada hari Ahad akan bertemu pasukan KL TPD.