Jadikan Kuantan Rangers Penanda Aras!

Tengku Fahad juga menyangkal tanggapan nasib dialami Real Mulia akan turut menimpa Kuantan Rangers..

---------------------------------
Tidak mahu bakat-bakat muda dan berkualiti sukan futsal khususnya di negeri Pahang terbiar tanpa halatuju dan pendedahan yang betul, membuatkan Tengku Arif Temenggong Pahang, YAM Tengku Fahad Muaadzam Shah terpanggil untuk menubuhkan Kelab Futsal Kuantan Rangers (KRFC).

Malah lebih dari itu, Tengku Fahad mahu kewujudan KRFC yang diasaskan kira-kira tiga bulan lalu bukan sahaja mewujudkan suasana persaingan sihat, tetapi dalam masa sama dapat membuka lembaran baru seterusnya menjadi penanda aras bagi arena futsal tempatan yang dilihat tidak begitu bersinar.

Menurut Tengku Fahad, "Kita mempunyai begitu ramai pemain berkualiti. Adanya KRFC, pertamanya adalah untuk pembangunan pemain dan bakat muda, keduanya memberi fokus kepada pemain-pemain dari Pahang, ketiga boleh berdikari dan paling penting menjadi kelab yang profesional.

“Kita beri pemain-pemain ini pendedahan dan latihan yang betul, untuk membuat mereka faham bahawa platform sudah tersedia dan sekiranya mereka bermain dengan baik mereka boleh mendapat peluang bukan sahaja mengembangkan bakat di dalam negara tetapi juga di luar. Malah jurulatih turut dihantar ke kursus, diberi lebih latihan agar satu hari mereka bukan sahaja melonjakkan nama KRFC, tetapi juga arena futsal tempatan."

Membuka cerita mengenai tertubuhnya Kuantan Rangers, Tengku Fahad menyatakan bahawa semuanya bermula dari minat yang mendalam serta rasa cinta yang cukup tebal terhadap sukan itu selain keinginan mahu melonjakkan arena futsal negara ke tahap yang lebih disegani.

“Kuantan Rangers sebuah kelab yang mempunyai elemen kekeluargaan. Sebenarnya ia bermula sejak saya masih kecil lagi, malah saya sendiri membesar dengan bermain futsal bersama pasukan Kuantan ketika berusia 8 - 10 tahun sebelum saya sambung belajar di luar negara. Jadi ikatan itu sentiasa membuatkan saya dekat dengan sukan futsal ini.

“Sejurus kembali dari luar negara, saya lihat ada keperluan untuk membangunkan futsal, ia tidak diuruskan secara professional sepertimana bolasepak. Bolasepak sudah begitu jauh maju ke depan tetapi futsal masih lagi semi-pro. Sebagai contoh mudah, kita tidak mempunyai pemain futsal sepenuh masa, boleh dikatakan pemain futsal di Malaysia hanyalah sambilan dan bekerja.

“Jadi saya melihat ianya peluang terbaik untuk mencetus satu pembaharuan, membawa futsal di Malaysia ke aras lebih tinggi. Saya telah berbincang dengan Tengku Aidy (Naib Presiden) yang ketika itu mempunyai pasukan Sri Kotasas FC yang bermain baik dalam pertandingan tempatan. Kami fikir ia satu idea yang baik untuk menubuhkan Kuantan Rangers," ujar Tengku Fahad.

Sebaik ditubuhkan pada bulan November lalu, KRFC telah mengambil bahagian di pusingan kelayakan LFK 2017 yang membabitkan 10 pasukan namun gagal untuk meneruskan kemaraan.

Meskipun mengakui sedikit kecewa dengan kegagalan tersebut, Tengku Fahad bagaimanapun tidak menjadikan ianya sebagai alasan untuk patah semangat.

Sebaliknya beliau menjelaskan banyak perancangan telah diatur untuk memacu perkembangan dan pembangunan pemain-pemain serta jurulatih pasukan itu dalam usaha menjadikan KRFC sebagai sebuah pasukan mantap, berdaya saing dan boleh muncul juara LFK dalam tempoh 3 5 tahun akan datang.

"Ia pusingan kelayakan yang mengecewakan, kerana saya melihat pemain-pemain telah bermain dengan cukup baik walaupun hanya sebulan menjalani latihan, apapun ia satu pengalaman yang berharga. Jika dibanding dengan dengan pasukan lain, tahap kita tidaklah teruk, malah saya terkejut melihat kita mampu beri tentangan sengit kepada mereka. Ia satu kelayakan yang cukup sukar namun cukup kompetitif.

"Kita tidak akan berhenti di sini, terlalu banyak perancangan sedang digerakkan. Kita bercadang bermain dalam pertandingan berupa karnival di Asia Tenggara jika tiada aral, dan juga beberapa perlawanan persahabatan di sekitar karnival. Jadi dengan cara ini kita boleh kekalkan pemain menjalani latihan secara kompetitif, berlatih lima kali seminggu yang mana satu jumlah yang tinggi bagi sebuah pasukan futsal," katanya.

Tambah Tengku Fahad lagi, kelab itu juga merancang untuk menjalin kerjasama dengan pasukan-pasukan dari Asia Tenggara dalam usaha untuk memastikan tahap kompetitif pasukan boleh dijaga selain dapat terus mempelajari sesuatu yang baru malah mungkin juga melakukan program pertukaran pemain.

“Kita tidak boleh berbangga atau meninggi diri, perlu sentiasa bersyukur kerana diberi peluang untuk belajar dari kelab yang sudahpun menempa nama. Sebagai contoh, kita perlu akui Thailand sudah jauh mengorak langkah ke depan dalam bolasepak dan futsal.

“Kita mempunyai peluang untuk belajar dari mereka bagaimana mereka melakukannya, itu apa yang saya harapkan dari kerjasama dengan kelab dari Asia Tenggara nanti, katanya.

Ditanya sama ada KRFC akan menjadi sebuah lagi projek melepas batuk di tangga sepertimana pernah terjadi kepada Real Mulia Football Club, kelab bolasepak miliknya yang pada satu ketika cemerlang di dalam saingan Liga FAM namun terpaksa dibubarkan kurang setahun kemudian, Tengku Fahad menyangkal tanggapan itu.

Menurutnya setiap kegagalan yang lalu memberi pengalaman dan pengajaran yang cukup berguna dan membantu menjadikannya lebih matang.

“Tidak, ianya berbeza. Keterlibatan saya bersama Kuantan Rangers tidak sama seperti Real Mulia. Saya faham kenapa ada yang beranggapan begitu. Tetapi ketika itu saya tidak banyak terlibat dengan pasukan, dan kemudiannya berlaku sedikit krisis pengurusan. Saya berani jamin ianya takkan berulang kali ini, kerana kini saya terlibat secara langsung.

"Memang apa yang berlaku itu sangat mengecewakan, tetapi ia satu pengalaman yang cukup bernilai. Dari setiap kegagalan, anda boleh belajar sesuatu dan lebih memahami tentang apa dan kenapa ia berlaku, saya banyak belajar dari apa yang berlaku ini," katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden KRFC, YM Tengku Aidy Ahmad Shah turut berkongsi pandangan sama dengan menekankan bahawa penubuhan kelab itu bukan sekadar projek suka-suka justeru menjelaskan visi KRFC adalah untuk menjadi sebuah kelab professional yang bukan sahaja terbaik di Pahang dan Malaysia, tetapi juga di rantau Asia.

Bagaimanapun, Tengku Aidy berkata KRFC tidak mensasarkan kejayaan segera kerana mengakui ia bukan sesuatu yang boleh dicapai sekelip mata, justeru akan menjayakan setiap perancangan yang telah diatur secara berperingkat.

"Kita berpandangan jauh. Untuk mencapai sasaran kita, satu tahun tidak cukup, ia akan mengambil masa. Pasukan ini masih mentah dalam arena futsal dan kita perlu belajar, akan terus belajar. Pasukan ini mempunyai adunan pemain muda dan berpengalaman dan kita sudahpun ada idea dan susun program jangka panjang untuk mereka.

“Saya percaya KRFC akan menjadi tempat terbaik untuk membantu merealisasikan impian pemain-pemain bergelar profesional. Walaupun kita tidak layak ke LFK, sekurang-kurangnya kita sudah menandakan kehadiran kita di arena futsal, ramai orang mula bertanya siapa KRFC, kenapa begitu agresif, ini petanda baik bagi kita.

"Apa sekalipun, terima kasih kepada TAT (Tengku Arif Temenggong) di atas inisiatif dan kerja kerasnya untuk wujudkan pasukan ini. Beliau sentiasa suportif terhadap pasukan ini, dan saya percaya kita mampu meletakkan satu penanda aras baru buat sukan futsal di Malaysia."

Sumber : FB Kuantan Rangers