Izzati Azam Bangkit Selepas Alami Kecederaan Lutut

Kapten futsal wanita negara, Nur Izzati Khairudin, akur dengan keadaan dirinya yang masih menjalani proses pemulihan selepas terlibat dengan kemalangan, sekaligus terpaksa diketepikan daripada beraksi di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur, dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Izzati terlibat dengan kemalangan jalan raya pada Februari lalu yang menyaksikan seluruh urat kaki kirinya putus.

Memasuki tiga bulan, pemain berusia 29 tahun itu masih lagi menjalani proses pemulihan secara intensif selama setahun sebelum dibenarkan kembali beraksi di gelanggang.

Dia yang sebelum ini pernah beraksi dalam Sukan SEA 2013 tidak menduga kemalangan tersebut berlaku dalam tempoh di mana skuad negara giat menjalani persiapan dan kini hanya fokus untuk pulih sepenuhnya bagi menyertai saingan Piala AFC, tahun depan.

"Jurulatih minta untuk saya kembali beraksi, kalau boleh...

"Tetapi, saya masih perlu bersaing dengan pemain lain dan dalam masa yang sama, saya mempunyai kelebihan kerana mempunyai pengalaman bersama skuad Malaysia.

"Andai saya cergas, saya akan bersama pasukan," katanya.

Meskipun tanpa khidmatnya, Izzati tetap percaya semangat rakan sepasukan untuk merampas pingat emas masih membara.

Pencapaian terbaik skuad futsal wanita adalah menerusi gangsa di Naypyidaw 2013.

"Semangat berpasukan itu penting di samping keyakinan.

"Setiap pemain tahu tugas mereka dalam gelanggang.

"Mereka tidak akan mengambil mudah dalam setiap perlawanan biarpun beraksi sebagai tuan rumah.

"Insya-Allah mereka mampu memenangi pingat."

Artikel oleh Astro Arena/Stadium Astro