Inikah Liga Kita?

Liga Futsal Kebangsaan 2015 sudah melabuhkan tirainya. Segala persoalan telah terungkai setelah Felda United telah menyapu bersih saingan liga dan piala bagi kategori lelaki manakala pasukan wanita Selangor berjaya merampas kejuaraan liga dari Felda United. Juara Piala Futsal Kebangsaan kategori wanita musim lalu, Selangor MPSJ berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi.

Banyak suka duka yang dapat dicoretkan pada edisi kali ini apabila pemenang kasut emas liga bagi kategori lelaki iaitu Jamaluddin Bin Alias yang digelar 'Lagenda Liga Haram' telah berjaya mengenepikan saingan pemain muda bagi menggondol gelaran penjaring terbanyak liga. Walaupun sudah berusia 39 tahun, beliau masih mampu membuktikan yang beliau masih berbisa sebagai seorang peledak yang baik. Kejayaan pasukan lelaki Felda United mengekalkan kedua-dua kejuaraan dan kejutan pasukan wanita Selangor yang mengenepikan Felda United pada saingan liga dengan hanya 1 gol perbezaan jaringan turut mewarnai saingan sengit pada musim ini.

Kejayaan pendatang baru seperti Kuala Lumpur MK yang memperoleh tempat ke-3 liga kategori lelaki dan layak ke saingan separuh akhir wajar diberikan pujian kerana telah berjaya membuktikan bahawa pasukan baru dalam saingan ini juga mampu mempersembahkan persembahan yang baik dan bersaing sengit dengan pasukan-pasukan yang sudah lama bertapak di Liga Futsal Kebangsaan.

Namun terdapat banyak aspek yang perlu diambil serius oleh pihak penganjur untuk penambahbaikan liga futsal terulung di negara ini ialah dari segi lokasi perlawanan. Andai disemak semula lokasi perlawanan, lokasi perlawanan sering bertukar dari pada mulanya diadakan di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam dan kemudiannya berpindah ke KSL Sports Seri Gombak dan kembali ke Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam. Perkara ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan apabila sebuah kejohanan yang bertaraf kebangsaan hanya bermain di sebuah gelanggang terbuka. Ianya seolah-olah penyokong sedang menyaksikan sebuah liga haram. Bukan mahu merendahkan liga haram dan juga lokasi pertandingan namun seperti tiada bezanya liga haram dan juga liga bertaraf kebangsaan yang diiktiraf FAM. Ditambah pula dengan jadual yang seringkali bertukar. Perkara ini akan mengelirukan banyak pihak sebagai contoh perlawanan akhir Piala Futsal Kebangsaan kategori wanita yang pada mulanya dijadualkan pada jam 5.30 petang dan kemudian diawalkan jam 4.00 petang.

Begitu juga dengan aspek pengadilan yang jelas perlu dititikberatkan oleh pihak penganjur. Terlalu banyak keputusan pengadil yang mengakibatkan tempo serta suhu permainan menjadi lebih panas dan terdapat juga keputusan pengadil yang mengakibatkan pergaduhan dan juga yang amat mendukacitakan adalah pergaduhan yang turut melibatkan peminat yang hadir. Disini juga dapat kita kaitkan permasalahan pertama tadi apabila pihak penganjur mengadakan pertandingan ini di lokasi yang tidak sesuai dan ditambah pula dengan keputusan pengadil yang kadangkala sukar untuk diterima, maka akan wujudnya satu perkara serta masalah yang tidak diingini berlaku. Pengadil juga manusia tidak terlepas dari kesilapan, namun mutu pengadil pada edisi kali ini wajar dipersoalkan kewibawaan mereka.

Dari segi aspek keselamatan juga turut menjadi persoalan apabila hanya sekumpulan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan bilangan anggota Polis yang kecil ditugaskan di lokasi pertandingan tidak mampu menghalang perkara seperti perlawanan kategori lelaki antara Selangor menentang Kedah dimana penyokong Selangor masuk ke dalam gelanggang dan mengasari pemain Kedah . Apa sahaja yang mampu dilakukan oleh anggota RELA dan bilangan anggota Polis yang sedikit sekiranya keadaan di lokasi pertandingan menjadi tegang dan tidak terkawal. Namun, kawalan keselamatan yang baik ketika di Juara Sports Planet Putatan wajar dipuji apabila terdapat anggota Polis yang ramai berada di sekitar kawasan lokasi perlawanan.

Disamping itu, kurangnya publisiti serta promosi mengenai Liga Futsal Kebangsaan yang dijalankan juga turut mengecewakan peminat apabila hanya di saingan pusingan ''Grand Final'' sahaja mereka dapat melihat rangkuman berita di akhbar. Tiada liputan di rangkaian televisyen mahupun siaran langsung jelas memperlihatkan sukan futsal ini seperti dianaktirikan berbanding sukan lain di negara ini.

Yang terakhir adalah isu ralat dalam pemberian hadiah apabila pada tamat saingan, jumlah yang tertulis adalah RM 100,000.00 bagi juara manakala RM 60,000.00 untuk naib juara. Namun entah dimana silapnya apabila pihak penganjur mengatakan bahawa jumlah itu adalah tidak benar dan berubah menjadi RM 50,000.00 buat juara dan RM 30,000.00 bagi naib juara. Sungguh jauh nilai ralatnya. Ini adalah suatu yang sangat memalukan apabila kesilapan semudah ini boleh wujud dalam liga tertinggi futsal kebangsaan. Para pemain pasukan juara sudah bergaya sakan dihadapan 'Mock Cheque' tersebut namun ianya hanyalah penyedap mata buat sementara sahaja.

Semoga segala kelemahan dapat diperbaiki bagi saingan di musim hadapan kerana futsal merupakan antara sukan yang semakin mendapat tempat dihati masyarakat dan diharapkan semua pihak dapat memartabatkan sukan yang pada mulanya hanya sebagai aktiviti riadah di malam hari sahaja dan juga sebagai liga pelepas batuk di tangga. Tahniah kepada semua pemenang dan semoga kita bertemu lagi.