Giliran Skuad Lelaki Mahu Buktikan

Kancah kejohanan Futsal AFF 2015 akan memulakan tirainya pada 8 Oktober ini dan peminat futsal negara pasti mengharapkan skuad lelaki dapat mengikuti jejak pasukan wanita yang mencatatkan keputusan positif pada aksi kejohanan di Nilai tempohari.

Kejohanan yang berlangsung di Bangkok Futsal Arena di daerah Nong Chok, Thailand itu bakal menampilkan Malaysia yang diundi satu kumpulan bersama-sama pasukan pilihan, Thailand, Brunei, Timor Leste dan Singapura.

Andai dilihat berdasarkan undian tersebut, Thailand gah selaku pilihan untuk mendominasi kumpulan ini namun skuad bimbingan Marcelo Serpa yang kini berada pada moral terbaik selepas aksi bertenaga ketika siri lawatan ke Jepun dan juga aksi memukau ketika menewaskan Arab Saudi, UAE dan Lebanon tempohari.

21

Berdasarkan format kejohanan pada kali ini, empat pasukan yang melayakkan diri ke separuh akhir akan menjamin tempat ke Kejohanan Futsal AFC 2016 di Uzbekistan. Diatas kertas memperlihatkan Fitri Yatim dan rakan sepasukan mempunyai laluan yang cerah untuk melayakkan diri namun aksi di gelanggang pasti tidak semudah yang dijangka dan pelbagai kemungkinan mungkin berlaku nanti.

Ketua pasukan negara, Muhamad Fitri Yatim melaungkan keyakinan bahawa para pemain sudah bersedia menghadapi cabaran tersebut. "Kami semua sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan AFF di Bangkok nanti. Dengan adanya perlawanan persahabatan yang kami lalui baru-baru ini membuatkan kami lebih fokus dan kami sempat memperbaiki setiap kesilapan yang dilakukan pada perlawanan-perlawanan tersebut bagi menghadapi kejohanan sebenar nanti", tegas beliau.

"Dalam kumpulan kami, pastinya tumpuan lebih tertumpu pada Thailand tetapi kami tak boleh mengambil mudah cabaran dari pasukan lain kerana sebarang kemungkinan mungkin berlaku nanti", tambah Fitri lagi.

Beliau yang optimis dengan para pemain yang dimiliki ketika ini turut menyimpan impian besar melayakkan diri ke perlawanan akhir edisi kali ini sekaligus membawa Malaysia layak ke Kejohanan Futsal AFC yang berlangsung tahun hadapan di Uzbekistan. " Saya turut yakin dengan pemain yang ada mampu mencipta kejutan buat semua pencinta futsal tanah air".

Artikel Oleh : Wak Meor