Felda United Juara Liga Futsal Kebangsaan 2015

Liga Futsal Kebangsaan 2015 kategori lelaki telah melabuhkan tirai dengan pelbagai drama yang menghiasi kancah liga kali ini. Bermacam-macam peristiwa dapat disaksikan seperti seringkali bertukar lokasi pertandingan, prestasi pengadil yang mengadili perlawanan serta aksi selepas perlawanan yang dilihat sedikit sebanyak boleh memberi persepsi negatif terhadap penganjuran liga kali ini.

Liga yang bermula pada 28 Februari 2015 ini membuktikan sekali lagi bahawa kehadiran Felda United selaku juara bertahan menepati ramalan bahawa mereka akan terus menggungguli saingan liga pada musim ini apabila selesa dengan berbekalkan 53 mata, 13 mata dibelakang T-Team yang berada di tempat kedua. Dengan kehadiran nama-nama besar dalam arena futsal dan berbekalkan persefahaman yang tinggi serta disiplin berpasukan yang baik, Felda United yang hanya mencatatkan satu kekalahan semestinya menjadi calon untuk menjuarai pusingan 'Grand Final' yang akan bermula awal bulan Jun nanti.

Namun, persaingan untuk tempat kedua liga kali ini kelihatan sengit apabila T-Team, Kuala Lumpur MK, MPSJ Selangor, Melaka, Perak, Kedah dan Selangor saling kejar mengejar bagi memperoleh kedudukan yang baik dan akhirnya T-Team berjaya menyerap tekanan apabila menduduki tempat kedua. Tanpa dibarisi dengan nama besar namun T-Team membuktikan mereka adalah sebuah pasukan yang mampu bersaing dengan hebat dan ini dibuktikan dengan kedudukan di tempat kedua yang diperoleh.

Pendatang baru liga, Kuala Lumpur MK di tempat ketiga selepas berjaya menewaskan Perak pada perlawanan terakhir dimana perlawanan tersebut adalah aksi bagi kedua-dua pasukan untuk merebut kedudukan ketiga liga dan dengan kemenangan Kuala Lumpur MK mengakibatkan Perak turun ke tangga ke-6 liga. MPSJ Selangor pula gagal mempertahankan kedudukan tempat kedua yang diperoleh pada musim lepas apabila sekadar berpuas hati di tempat ke-4.

Kebangkitan saat akhir oleh pasukan-pasukan di dasar liga seperti Pahang, Sabah, KL Petaling Putra dan Quilmes Sabah masih belum cukup untuk membawa mereka ini untuk ke pusingan 'Grand Final' nanti. Namun, pengalaman yang diperoleh pada liga kali ini seharusnya akan menjadi pengajaran dan saingan musim ini menjadi penanda aras buat setiap pasukan untuk bangkit dan bersaing di pusingan kelayakan pada musim hadapan dan seterusnya kembali beraksi di liga elit kebangsaan ini.

Pemain yang berusia 39 tahun, Jamal dari pasukan Melaka mencuri tumpuan apabila berjaya meledak 22 gol sekaligus dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Futsal Kebangsaan 2015.

Ketajaman serta ketenangan beliau di hadapan gol menjadi igauan buat setiap penjaga gol lawan. Semoga kejayaan yang dicatatkan oleh Jamal akan menjadi pemangkin semangat kepada pemain lain dan membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk berjaya.

Apa yang dapat disimpulkan pada musim ini adalah saingan yang hebat dapat disaksikan bukan sahaja di dalam padang malahan di luar padang terdapat aksi menarik yang perlu dipandang serius. Dengan pengurangan dari 16 pasukan ke 12 pasukan memperlihatkan setiap pasukan dapat mewujudkan satu pasukan yang mantap dan ianya diterjemahkan pada setiap perlawanan yang dapat disaksikan sebuah perlawanan yang berkualiti dan menunjukkan bahawa tahap liga ini adalah liga tertinggi di tanah air kita. Aspek-aspek yang kurang dari segi pengadilan,lokasi,promosi dan keselamatan wajar dititikberatkan oleh pihak penganjur supaya sukan futsal terus menjadi buah mulut pencinta futsal khasnya dan juga seluruh

Foto : Felda United FC