Falcao : Peluang Cerah Padam Rekod Rakan Senegara

Nama Falcao dan Kejohanan Futsal Piala Dunia FIFA memang tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya mempunyai hubungkait yang sangat utuh ketika ini. Pemain lagenda berusia 39 tahun itu juga sudah mengecapi nikmat selaku juara bersama Brazil pada tahun 2008 dan 2012.

2833693_xlarge-lnd

Falcao atau nama sebenarnya Alessandro Rosa Vieira sudah beraksi dalam 5 edisi Piala Dunia yang berbeza bermula dari edisi 2000 di Guatemala, 2004 (Chinese Taipei), 2008 (Brazil), 2012 (Thailand) dan 2016 yang sedang berlangsung di Colombia ketika ini.

Pembabitan beliau dalam 4 Piala Dunia juga telah berjaya menghasilkan 38 jaringan dalam 25 perlawanan yang beliau sertai dan jumlah tersebut hanya kurang 5 jaringan sahaja lagi dari penjaring terbanyak ketika ini iaitu milik rakan senegara Falcao, Manoel Tobias yang mencatatkan 43 gol dalam 32 perlawanan beliau.

2833508_xlarge-lnd

Kini, setelah edisi di Colombia memasuki perlawanan kedua, Falcao sudah menambah 4 lagi koleksi jaringan beliau ketika menentang Ukraine (1 gol) dan Australia ( 3 gol ) bagi terus menghambat catatan jaringan yang dihasilkan rakannya itu dan kini jaringan mereka hanya dipisahkan dengan 1 gol sahaja.

Dengan 42 gol dalam 27 perlawanan buat Falcao disamping kejohanan yang baru memasuki 2 perlawanan, beliau dilihat mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menjadi penjaring terbanyak Piala Dunia sepanjang zaman jika melihatkan prestasi yang ditampilkan bintang berkelas dunia tersebut.

2833569_xlarge-lnd

Prestasi yang ditampilkan Falcao seharusnya menjadi panduan buat setiap pemain futsal di negara kita kerana disiplin yang tinggi dalam diri mampu menjelmakan keputusan serta persembahan yang memberangsangkan ketika beraksi.

Kredit foto : Victor Decolongon l Fifa.com

2833568_xlarge-lnd