CUCKOO Piala Futsal Malaysia 2020

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan CUCKOO, jenama peralatan rumah terkemuka sebagai rakan penaja terbaharu menjelang tirai 2020 yang akan disingkap tidak lama lagi.

Dengan perjanjian yang ditandatangani untuk tempoh bermula 1 November 2019 hingga 31 Disember 2020 itu, CUCKOO akan menjadi Penapis Air & Penapis Udara Rasmi (bagi kategori peralatan rumah) kepada pasukan-pasukan kebangsaan, Harimau Malaya dan juga FAM.

Selain itu, CUCKOO turut akan menjadi penaja utama bagi Piala Futsal Malaysia 2020, saingan peringkat piala yang akan diperkenalkan buat pertama kalinya pada saingan musim kedua Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2020. Saingan peringkat piala ini akan disiarkan melalui Astro tahun depan, sebuah batu loncatan buat kedua-dua pihak di dalam industri sukan tempatan.

Majlis menandatangani perjanjian penajaan itu berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini di antara Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Encik KC Hoe sambil disaksikan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Haji Rosmadi bin Ismail bersama Ketua Pegawai Pemasaran CUCKOO, Queenie Goh.

Datuk Haji Rosmadi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM cukup berbesar hati dengan kesudian syarikat antarabangsa seperti CUCKOO Malaysia untuk tampil sebagai penaja bagi Piala CUCKOO Malaysia 2020.

Beliau berkata: "Ini merupakan suatu pencapaian yang sangat membanggakan kerana jenama Korea yang terkemuka tampil ke hadapan untuk menjadi rakan rasmi FAM bagi pembangunan futsal dan bola sepak negara.

"Terima kasih kepada CUCKOO kerana sudi untuk tampil juga sebagai penaja utama bagi Piala Futsal Malaysia. Sudah tentu, nama anda akan tercatat dalam sejarah futsal negara dan bola sepak kerana bersama-sama dengan FAM dalam penganjuran edisi pertama Piala pertandingan futsal kebangsaan secara profesional di Malaysia."

KC Hoe pula menambah: "Sejak penubuhan CUCKOO di Malaysia pada tahun 2014, salah satu matlamat kami adalah untuk membawa kebaikan kepada semua pelanggan kami. Ini termasuk usaha kami untuk mengadakan kempen-kempen tanggungjawab sosial korporat seperti kempen Hari Air Sedunia CUCKOO berjudul "Just 1 Cup".

"Pada awal tahun ini, kami bekerjasama dengan Pahang Rangers F.C dalam perjuangan mereka dalam Malaysia Premier Futsal League (MPFL). Oleh itu, kami amat bangga dapat berpeluang untuk bekerjasama bersama FAM dan kami percaya bahawa kolaborasi ini dapat menjadi sebuah inisiatif pembangunan industri sukan tempatan. Dalam pada itu, CUCKOO juga ingin membantu meningkatkan kemahiran bakat tempatan, selain memupuk bakat baharu."

Dengan kehadiran CUCKOO ke dalam keluarga FAM ini, 80 mesin penapis air dan penapis udara CUCKOO turut akan ditempatkan di Wisma FAM termasuk di ruang pejabat serta kafeteria dan bilik asrama para pemain bagi memberikan persekitaran yang segar dan sihat di pusat pentadbiran bola sepak negara ini.

Kerjasama tersebut akan membawa kebaikan kepada atlet-atlet kebangsaan dan pasukan Harimau Malaya di mana mereka dibayangkan untuk tinggal di rumah yang lebih sihat bersama CUCKOO.