Chiew Chun Yong Tidak Hirau Intipan Thailand

Baginya, sudah menjadi lumrah buat pasukan lawan mengintai kekuatan pasukan negara kerana dia dan tenaga kejurulatihannya juga akan meninjau kekuatan lawan.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 43 tahun itu tidak menolak kemungkinan akan menyembunyikan perancangan taktikal keseluruhan pasukannya di Bangkok.

"Mereka sentiasa menghantar seseorang untuk memerhatikan kami tetapi itu bukan satu masalah.

"Kali terakhir kami bertemu Thailand sebelum ini menyaksikan kami tewas tetapi mendahului pada awal perlawanan dan kini kami sedang mengenal pasti kelemahan itu," kata Chun Yong.

Dalam masa sama, bekas pemain futsal negara itu menyatakan rasa puas hati dengan fasa latihan akhir skuad negara menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dia percaya kelemahan kurang fokus di awal dan hujung permainan yang kerap menjelma akan dapat diatasi menjelang temasya dwitahunan itu.

Barisan negara akan turut mengadakan dua aksi persahabatan antarabangsa sekembalinya dari Bangkok sebelum memulakan aksi di Kuala Lumpur.

"Saya dapat menyaksikan peningkatan daripada setiap pemain dan saya mengharapkan pemain-pemain akan dapat mengawal situasi-situasi genting, terutama ketika berada di peringkat antarabangsa," tambahnya.

Artikel oleh : Stadium Astro/Astro Arena