Chiew Chun Yong Hilang Khidmat Saiful Nizam

Jurulatih skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong sah terpaksa melupakan khidmat pemain tonggak Saifulnizam Mohd Ali setelah pemain itu tidak sempat pulih sepenuhnya bagi beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang bermula minggu depan.

Pemain berpengalaman yang bermain bersama Melaka itu sebelum ini dilaporkan menunjukkan perkembangan positif terhadap sesi pemulihan kecederaan dan diyakini akan pulih tepat pada waktunya sebelum senarai akhir dimuktamadkan pada Ahad ini.

Untuk rekod, jaringan hatrik Saifulnizam membantu Malaysia menduduki tempat ketiga Kejuaraan Futsal AFF 2015 selain menjuarai Kejohanan Oceania 2014. Dia juga merupakan pemenang tiga kali berturut-turut Liga Futsal Kebangsaan bersama Felda United (2014 dan 2015) serta Melaka (2017).

Apapun, Chun Yong boleh menarik nafas lega apabila seorang lagi pemain tonggak dari Pahang, Akmarulnizam Idris kembali menyertai latihan dan hampir pasti berada dalam skuad 14 pemain yang diberi kepercayaan mengalas cabaran di KL2017.

“Memang sebolehnya saya mahu kedua-dua pemain kerana kita telah lihat tanpa mereka, rentak permainan pasukan terjejas ketika bermain persahabatan di Bangkok bulan lalu.

Mereka telah menjalani pemulihan dan setelah membuat penilaian, Saifulnizam tidak sempat cergas sepenuhnya.

“Kehadiran semula bek (Akmarulnizam) satu suntikan buat pasukan. Saya akan lihat dalam dua perlawanan menentang Mongolia pada Sabtu dan Ahad siapa yang boleh mengisi tempat
Saifulnizam dan muktamadkan senarai akhir selepas dua perlawanan itu.

“Memang saya sudah fikirkan plan B jika Saiful tidak dapat bersama pasukan, semua pemain sedang cuba sedaya upaya untuk merebut tempat dalam pasukan jadi saya percaya dapat senaraikan skuad terbaik,” kata pengendali kelahiran Pulau Pinang itu.

Walaupun mengakui memenangi pingat perak adalah sasaran realistik buat pasukan, Chun Yong optimis bahawa ianya tidak mustahil untuk Malaysia melakar kejutan memenangi pingat emas walaupun Thailand yang merupakan juara tiga kali berturut-turut dan Vietnam tetap dilihat sebagai pilihan utama.

Empat tahun lalu di di edisi Myanmar 2013, Thailand mempertahankan pingat emas setelah
menewaskan Vietnam di perlawanan akhir manakala Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan.

Di temasya Indonesia 2011, Malaysia memenangi pingat gangsa dan pencapaian terbaik pula adalah memenangi pingat perak ketika futsal mula-mula dipertandingkan di pentas Sukan SEA di Korat 2007.

Untuk saingan edisi kali ini, saingan membabitkan lima pasukan iaitu Malaysia, Indonesia, Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Malaysia akan memulakan kempen dengan menentang Myanmar pada 18
Ogos, diikuti Vietnam (20 Ogos), Indonesia (22 Ogos) dan Thailand (27 Ogos) dengan kesemua perlawanan berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam.

Artikel Oleh Muhd Aiman/Sport247