ASC Futsal League 2018 Dapat Sambutan Hangat Di Terengganu

Sabtu lalu, tamatlah sudah aksi ASC Futsal League 2018 yang berlangsung di Arena Sport Centre, Kuala Terengganu. Kejohanan itu telah diadakan pada setiap hari Sabtu pada jam 9 malam sehingga 12.30 tengah malam. ASC Futsal League 2018 telah berlangsung bermula 29 September lagi.

Kami telah menghubungi Encik Rahmat, penganjur bagi kejohanan tersebut untuk mendapatkan komennya mengenai keseluruhan liga itu berlangsung.

“Alhamdulillah. Ianya berjalan lancar seperti yang dirancang. Saya boleh katakan, objektif kami tercapai iaitu ingin mengangkat dan memartabatkan sukan futsal di Terengganu”, katanya.

Menurut En. Rahmat, sambutan yang diperolehi daripada pemain serta penyokong sukan ini amat memberangsangkan di Terengganu.

“Setiap minggu dianggarkan lebih kurang 200 orang yang hadir menyaksikan dan menyokong pasukan yang bertanding”, maklumnya mengenai sambutan perlawanan tersebut.

Baginya, ia merupakan perkembangan yang positif bagi peminat futsal di Terengganu. Ini kerana, ianya merupakan kali pertama liga futsal diadakan di negeri tersebut.

Bertanyakan tentang perancangan di masa hadapan, menurutnya, mereka akan meneruskan dengan konsep yang lebih baik dan lebih berprestij.

Selain itu, perancangan rapi telah dibuat dan mereka merasa bangga apabila mendapat sambutan yang sangat baik daripada pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan EXCO sukan Terengganu.

“Kami turut merancang, AFL akan mendapat lebih penglibatan terutama sekali daripada pasukan IPT, Badan Berkanun dan sebagainya kerana kami juga ingin melihat AFL ini ada 2 divisyen”, katanya dengan penuh semangat.

“Selain itu, kami juga sedang sedaya upaya untuk mengadakan AFL untuk under 18. Kami akan fokus kepada anak-anak muda Terengganu agar kita dapat melihat bakat ana muda di Terengganu dalam sukan futsal”, tambahnya lagi.

Kami mendoakan agar segala perancangan yang dirancang oleh ASC dipermudahkan bagi kemajuan sukan futsal di tanah air.