Arena Futsal Perlu Transformasi Menyeluruh - Tengku Fahad

Biarpun tidak layak untuk beraksi di Liga Futsal Kebangsaan (LFK) yang berlangsung bermula Februari sehingga Mei depan di Tanjung Malim, pasukan futsal Kuantan Rangers mempunyai cara tersendiri untuk membekalkan pemainnya peluang dan platform menyerlahkan bakat.

Pasukan milik Tengku Temenggong Pahang, Tengku Fahad Mua’adzam Shah itu rancak mengambil bahagian di kejohanan-kejohanan futsal setempat selain mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan–pasukan elit.

Antara pasukan yang pernah ditentang mereka termasuklah Melaka dan pasukan kebangsaan kendalian Chiew Chun Yong manakala terbaru, mereka mengadakan dua aksi persahabatan menentang Perak yang terlibat dengan LFK 2017.

Menariknya pasukan kendalian Faizul Abdul Gaffar itu mencatat keputusan seri 6-6 pada perlawanan pertama (Sabtu) dan menang perlawanan kedua yang berlangsung Ahad lalu dengan keputusan 6-5 sekaligus membuktikan mereka mempunyai kualiti setanding bersaing dengan mana-mana pasukan.

Namun, di sebalik bisa yang dipamer pasukannya, tetap ada sedikit rasa terkilan di sudut hati Tengku Fahad.

“Pasukan ini menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa, mereka ada kualiti, komitmen, disiplin, kesungguhan tetapi sayang sekali kami tiada platform untuk mendedahkan pemain ini dengan suasana permainan kompetitif kerana LFK hanya membabitkan 10 pasukan sahaja.

“Malah ianya berlangsung hanya tiga bulan sahaja dalam setahun. Dan kalau tidak silap sekarang hanya 9 pasukan sahaja kerana Sabah telah tarik diri,” kata Tengku Fahad.

Tambahnya, “Kami tidak layak ke LFK jadi kami kena tunggu setahun lagi untuk mencuba, ianya satu sistem yang tidak betul dan perlukan perubahan. Anda boleh bayangkan apa yang cuba saya sampaikan.

“Bagaimana kita mahu tarik lebih ramai pemain-pemain muda, mengangkat aras sukan ini ke tahap tinggi sekiranya liga pun diadakan hanya tiga bulan dalam setahun dan itupun tidak menyeluruh. Kelayakan berlangsung cuma tiga hari sahaja, jadi selepas bermain tiga hari sebuah pasukan yang gagal ke LFK perlu tunggu lagi setahun untuk mencuba.

“Saya berani katakan ada yang tidak tahu bahawa LFK ini wujud dan sedang berlangsung ketika ini. Penganjurannya sambil lewa dan dibuat ‘asalkan ada’. Sukar untuk kita pacu arena futsal ke arah professional jika ini situasinya. Ia perlu transformasi menyeluruh.

“Saya tidak mahu tuding jari pada sesiapa, cuma saya tekankan jika mahu merubah landskap arena futsal, perlu ada usaha dan kesungguhan untuk merubahnya. Ia perlukan seorang yang ada visi dan perancangan jangka panjang.”

Menurut Tengku Fahad lagi, “Futsal perlu jadi seperti bolasepak, seperti sukan lain. Ada blueprint, ada program pembangunan, ada sasaran mahu dikecap. Bukan dimainkan sekadar isi masa lapang. Sebagai orang luar, saya mahu cuba membantu melalui Kuantan Rangers, kami sebuah kelab baru dan sedang menapak ke arah professional. Kami mahu menjadi model yang boleh dicontohi.

“Pemain-pemain di kelab ini adalah berkontrak dan mereka sedang dipersiapkan menjadi profesional. Kami ada pemain-pemain muda, kami perlu fikirkan cara berterusan bagaimana untuk mendedahkan pemain-pemain kami yang berkontrak ini dengan suasana pertandingan. Kalau hanya berlatih dan berlatih nanti bakat mereka tidak ke mana, itu sebabnya saya katakan transformasi menyeluruh diperlukan.”

Untuk rekod, Kuantan Rangers yang ketika ini mempunyai seramai 18 pemain telah merekrut beberapa nama besar arena futsal bagi memperkuatkan pasukan antaranya bekas pemain kebangsaan Rahimi Shatar, Asmie Amir Zahari, Khairul Rizuan Harif Pagilah, Hanif Sarmin serta bekas pemain Liga Super Pahang, Akhmall Abdullah.