Anak Malaysia Bakal Mewakili Negara di Brazil ToT United C akan Bertanding dalam Perlawanan Akhir Neymar Jr’s Five

Kuala Lumpur, 14 Mei 2016 – Sembilan jam yang hebat, beratus-ratus belia, dan setelah bertarung dengan banyak pasukan lain, ToT United C berjaya menewaskan pesaing-pesaing mereka dan mara ke Peringkat Akhir Global Neymar Jr’s Five di Brazil. Diketuai Muhammad Shamar bin Fadzil (23), pasukan ini dianggotai Hazizi bin Mansor (23), Muhammad Aidil Shahril bin Rosli (19), Syed Aizad Daniel bin Syed Nasir (20), Muhammad Hazreen bin Muhammad Ali (24), Mohd Azrol bin Hairun (23) dan Muhammad Faiz bin Mazlan (19). Jaringan gol oleh Aidil telah menempah tempat ToT United C untuk mewakili negara Malaysia di Perlawanan Akhir Neymar Jr’s Five yang akan berlansung di Brazil, Julai tahun ini.
ToT United C (2)
Membesar di Lembah Klang, kecuali Azrol yang merupakan anak Pahang – ahli pasukan ToT United C telah bermain bersama sejak tahun 2007. Ikatan kuat sesama mereka yang hanya boleh dikembangkan melalui pengalaman berlatih sebagai pasukan amat terpancar dalam cara mereka bermain. Kebiasaan mereka dengan posisi setiap ahli pasukan membenarkan mereka untuk menghantar bola dengan pantas dan melaksanakan pergerakan taktikal dengan lancar semasa permainan. Azrol juga merupakan Pemain Paling Bernilai (MPV) Neymar Jr’s Five hari ini.
“Pusingan peringkat akhir ini memang penuh debaran. Kami terlalu fokus terhadap permainan sehinggakan kami tidak sedar yang permainan sudah habis. Apabila kami diberitahu yang kami telah menang, kami terlompat dengan gembiranya!” kata Shamar, ketua pasukan. “Walaupun pada mulanya sukar untuk percaya yang kami akan mewakili Malaysia, kami akan berusaha keras dan berlatih dengan teguh untuk membanggakan negara.” ToT United C akan pergi ke kampung halaman Neymar Jr – Praia Grande, Brazil, pada bulan Julai untuk bersaing dengan 42 negara lain di perlawanan akhir. Sebagai salah satu pasukan yang akan mewakili benua Asia, mereka tidak sabar untuk mengibarkan bendera Malaysia di persada antarabangsa.
ToT United C Lawan Samba FC
Sejak bulan April, pemain bola sepak bintang Brazil dan Barcelona – Neymar Jr – telah mencari wakil negara daripada enam benua untuk menubuhkan pasukan dan mengambil bahagian dalam perlawanan lima-lawan-lima beliau. Sejak itu, wakil-wakil dari Portugal, Mexico, Sepanyol, United Kingdom, Turkey (antaranya), dan kini Malaysia telah menyahut cabaran beliau, dengan lebih ramai wakil negara yang akan bakal muncul.
Perlawanan akhir Neymar Jr’s Five yang dinanti-nantikan akan berlansung di Instituto Projeto Neymar Jr, Sao Paulo, Brazil. Pasukan akan bermain dengan format yang sama. Ia adalah permainan bola sepak lima-lawan-lima di mana pasukan akan kehilangan seorang pemain dengan setiap gol yang dijaringkan oleh pihak lawan. Setiap pusingan akan berlangsung selama sepuluh (10) minit, atau sehingga sebuah pasukan telah kehilangan kesemua lima (5) pemainnya. Apabila wisel ditiup, pasukan dengan bilangan pemain yang paling banyak di padang akan memenangi pusingan tersebut. Sekiranya seri, pemenangnya akan ditentukan dengan sepakan penalti.
Juara perlawanan akhir juga akan menjadi tetamu Neymar Jr di sebuah perlawanan di “Camp Nou” di Barcelona, Sepanyol. Saksikan video Neymar Jr’s Five di www.facebook.com/redbull/videos/10156851963225352.
ToT United C Menyambut Kemenangan Mereka
Detik-Detik Utama Peringkat Akhir
1’ Penahanan kedua-dua pasukan amat teguh, dengan masing-masing cuba memasuki kawasan belah lawan. Azrol dari ToT United C ditangkap menarik baju Yakish dari Samba FC.
2’ Aizad dari ToT United C cuba menjaringkan gol tetapi terkena tiang gol.
3’ Kisshaen dari Samba FC diberi sepakan percuma setelah ToT United C ditangkap menarik tangan pihak lawan. Beliau cuba cip bola atas dinding pertahanan ToT United C tetapi terlepas. Kad kuning diberikan kepada ketua pasukan ToT United C – Shamar, kerana menarik tangan pemain Samba FC.
4’ Shamar dari ToT United C menguasai bola dan cuba menjaring dari belakang garisan tengah tetapi terlepas.
5’ Keadaan menjadi lebih berdebar kerana pasukan-pasukan mula menghalang dan mengasak pihak lawan mereka. ToT United C dan Samba FC bergilir-gilir dalam menguasai bola.
6’ Shamar dari ToT United C cuba menjaringkan gol tetapi bola melantun dari pos gol. Aidil menangkap bola lantun tersebut dan GOL! Kisshaen dari Samba FC dihantar keluar.
7’ Kelvin dari Samba FC cuba cipkan bola atas pihak lawan untuk menjaringkan gol, tapi terlepas.
8’ Disebabkan tackle, Kumar dari Samba FC dan Aidil dari ToT United C berlaga dan terjatuh. Permainan mula menjadi hangat apabila Aidil dari ToT United C telah menolak jatuh Yakish dari Samba FC. Azrol diberi kad kuning.
9’ Yakish pulih dari kejatuhannya. Kelvin dari Samba FC mengambil sepakan penalti, tetapi dipintas oleh pemain ToT United C yang telah menendang bola melintasi padang.
10’ Wisel terakhir dibunyikan, dan ToT United C Berjaya ke perlawanan akhir global.
Latar belakang Neymar Jr’s Five
Neymar Jr's Five adalah satu perlawanan bola sepak lima-lawan-lima antarabangsa yang diilhamkan oleh bintang Brazil dan Barcelona Neymar Jr. Ia bukanlah permainan bola sepak yang biasa, dan inilah sebabnya;
Peraturannya mudah; apabila sebuah pasukan melepaskan gol, ia harus menyingkirkan salah seorang daripada pemainnya dari padang. Setiap perlawanan adalah selama sepuluh (10) minit, atau sehingga satu pasukan telah kehilangan kesemua lima (5) pemain - ini menjadikannya pantas, teknikal dan taktikal. Apabila wisel ditiup, pasukan dengan bilangan pemain yang paling ramai akan memenangi pusingan tersebut.
Acara perlawanan akhir global akan berlangsung di Instituto Projeto Neymar Jr, Sao Paulo, Brazil. Institut ini adalah sebuah kompleks pendidikan dan sukan bukan bermotifkan keuntungan yang diasaskan oleh Neymar Jr dan keluarga beliau. Dilancarkan pada tahun 2014, Instituto Projeto Neymar Jr adalah program ‘FutbolNet’ kedua di Brazil dengan kerjasama FC Barcelona Foundation. Misi institut ini adalah untuk menyumbang kepada pendidikan keluarga, mempromosikan aktiviti praktikal dan memberikan komuniti Praia Grande akses kepada budaya.
Untuk maklumat lanjut, sila log masuk ke www.neymarjrsfive.com