Aksi Tangkas Hadee Taufiq Pukau Peminat

Peminat futsal tanah air begitu memuji aksi pemain negara sewaktu berdepan Australia ketika perlawanan terakhir saingan di Piala Futsal Komanwel 2015 itu. Aksi yang dipamerkan anak buah Marcelo Serpa serta dibantu Addie Azwan dan Mohd Fairuz dilihat sungguh bertenaga dan pastinya kelibat dan ketangkasan penjaga gol negara ketika itu menjadi buah mulut ramai. Krew Arena Futsal Malaysia sempat menemubual benteng terakhir yang tangkas ketika perlawanan itu.

Aksi cemerlang pada Piala Futsal Komanwel 2015 di New Zealand yang dipamerkan penjaga gol negara, Azrul Hadee Mohd Taufiq terlebih dahulu mendapat suntikan semangat apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik Liga Futsal Kebangsaan 2015 yang menyaksikan pasukan yang diwakili beliau iaitu Felda United telah mengungguli kedua-dua kejuaraan pada musim ini. Hadir membawa cabaran negara dengan status selaku pemain terbaik liga adalah azimat berguna buat beliau ketika cabaran di New Zealand.

16807_1595942750658308_2339504482214719590_n

Nama anak muda dari Segambut ini terus meniti dibibir peminat futsal tanah air apabila aksi mengagumkan yang ditampilkan pada perlawanan terakhir menentang Australia mendapat pujian ramai apabila berjaya menidakkan hampir kesemua percubaan berbahaya dari pasukan 'Futsalroos' pada perlawanan yang berpihak kepada pasukan Australia. Walaupun tewas pada perlawanan itu, aksi skuad negara wajar dipuji kerana lawan adalah sebuah pasukan yang seringkali beraksi di Piala Dunia dan mempunyai ranking yang agak baik.

Produk keluaran SMK Segambut Jaya ini sangat aktif bersukan ketika di bangku persekolahan dan pernah mewakili Kuala Lumpur ketika berusia 15 tahun, pernah menyimpan hasrat untuk mewakili negara dalam sukan bolasepak namun beliau terpaksa melupakan hasrat untuk terus mengembangkan bakat sehingga ke peringkat antarabangsa apabila memilih untuk berhenti bermain bolasepak dan menyambung pelajaran selepas tamat sekolah menengah. Namun, rezeki pemain yang lebih mesra dengan panggilan Hadee ini terhadap sukan futsal didorong dengan bimbingan dan nasihat sahabat beliau, Muhd Fariq yang juga merupakan pemain Selangor MPSJ bagi saingan Liga Futsal Kebangsaan musim ini. Bermula dengan hanya beraksi dengan beberapa pasukan 'liga haram' seperti FF5, KPTMKL, Samba De Futsal, Versus 5, MAC FC dan lain-lain lagi tetapi kini beliau sudah mula membuka mata peminat futsal tanah air dan dunia.

20310_1595945027324747_6939578980789316057_n

Pada awalnya beliau tidak mengimpikan untuk berada ditahap sekarang namun semuanya berubah apabila beliau menyertai pasukan Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia ( PBSMM ) yang beraksi di Liga Futsal Kebangsaan ketika itu. Selepas dari itu, beliau tidak menoleh kebelakang lagi dan terus diberikan kepercayaan untuk membarisi skuad futsal kebangsaan. Kemuncak prestasi dan kejayaan yang dikecapi oleh Hadee adalah berjaya membantu Felda United menjuarai Liga Futsal Kebangsaan 2015 dan juga Piala Futsal Kebangsaan 2015. Kejayaan ini merupakan kejayaan sulung peribadi buat pemain yang menjadikan jurulatih penjaga gol Felda United iaitu Muhammad Faris dan juga Sedano ( penjaga gol futsal FC Barcelona ) sebagai idola beliau dalam sukan ini.

Beliau turut menegaskan cabaran seterusnya buat skuad negara adalah di Kejohanan Futsal AFF yang akan diadakan di Bangkok yang dijadualkan pada bulan November nanti. Tidak mahu terus dibuai dengan pujian yang diberikan, beliau turut menyatakan bahawa tugas berat menanti dirinya dan perlu lebih bekerja keras kerana beliau masih lagi dalam proses pembelajaran untuk terus beraksi dengan lebih baik dari apa yang dipersembahkan sekarang.

Di akhir perbualan, Hadee mengharapkan agar dalam masa 3 hingga 4 tahun yang mendatang futsal akan menjadi sukan teras dan menjadi salah satu karier yang popular kepada penggemar sukan di tanah air. Beliau juga mengharapkan agar futsal mendapat liputan meluas sebagaimana bolasepak kini.

Kami di Arena Futsal Malaysia mengucapkan selamat maju jaya buat Azrul Hadee Mohd Taufiq dan mengharapkan pujian yang dihamburkan banyak pihak menjadi pendorong kepada Hadee dan rakan sepasukan untuk terus mengembangkan bakat bagi meningkatkan keyakinan peminat terhadap keupayaan skuad negara.