Aksi Suram Perak di Minggu Ke-9 Liga Futsal Kebangsaan 2015

Minggu ke-9 telah melabuhkan tirai dengan hanya satu kemenangan dicapai manakala aksi menentang Melaka dan Felda United berakhir dengan kekalahan. Aksi yang berlangsung di KSL Sports Seri Gombak ini menjanjikan satu saingan yang sengit dimana pada perlawanan pertama iaitu ketika menentang Melaka, Perak berjaya mengawal perlawanan serta mengasak kubu Melaka namun penyudah yang lemah di hadapan gol pasukan lawan menghampakan.

Melaka yang kelihatan tertekan apabila diasak hanya memerlukan serangan balas pantas bagi menjaringkan dua jaringan manakala Faizul Azuan berjaya merapatkan jurang di akhir-akhir minit separuh masa pertama. Dengan tempo perlawanan pada separuh masa kedua yang semakin laju dan rancak, suasana perlawanan menjadi tegang dan seringkali berlaku pertikaman lidah diantara pemain.
Ini merupakan satu perkara yang tidak baik kerana ianya mengganggu perjalanan perlawanan yang pada mulanya sangat menghiburkan semua. Ketangkasan penjaga gol Melaka menjadi kunci kepada kemenangan mereka apabila banyak asakan kearah gol yang berjaya dihalang oleh beliau. Keputusan penuh perlawanan Perak tewas 3-5 ditangan Melaka.

Selepas dikecewakan oleh Melaka pada perlawanan terdahulu, pemain berazam untuk kembali bangkit namun segalanya tampak sukar apabila pemain mempamerkan aksi longlai pada separuh masa pertama apabila tiap asakan mudah dipatahkan serta bahagian pertahanan seperti dipukau oleh aksi pasukan Felda United yang sudah semestinya mahu membalas dendam apabila kedua-dua pasukan hanya berkongsi mata pada perlawanan di pusingan pertama dengan keputusan 3-3.

Ketiadaan Afendi yang cedera dan juga Firdaus yang digantung perlawanan ianya memberikan impak apabila bahagian serangan kelihatan seperti kurang bernafsu untuk memburu jaringan. Tamat separuh masa pertama perlawanan berakhir dengan Felda United mendahului dengan 5 gol tanpa balas. Saingan di separuh masa kedua menampakkan peningkatan dari Perak namun masih gagal untuk memecahkan kebuntuan jaringan dan dihukum kealpaan demi kealpaan dengan 4 lagi jaringan mudah dari Felda United. Di akhir-akhir saingan Syahiran Bin Jasni Harishan berjaya memperoleh 2 jaringan saguhati untuk keputusan penuh Perak tewas 2-9.

Selepas dipalit dengan kedukaan 2 kekalahan sebelum ini, pemain masih kelihatan bersemangat untuk menentang Kedah yang berjaya mengikat Perak pada perlawanan pusingan pertama di lokasi yang sama tempohari. Segalanya seperti berada di landasan yang tepat apabila Perak melancarkan asakan demi asakan bagi menghasilkan jaringan. Selepas berusaha hampir 10 minit perlawanan jaringan pertama terhasil menerusi Faizul Azuan yang dengan tenang melakukan ‘lob’ cantik menewaskan penjaga gol Kedah.

3 jaringan dalam masa 1 minit membuktikan bahawa pemain Perak berada di semangat yang tinggi untuk menebus 2 kekalahan sebelum ini. Apa yang lebih menarik perlawanan ini mempunyai nilai yang bermakna buat Afendi, Azhar, Asriman dan Fadzwin yang merupakan bekas pemain Kedah pada Liga Futsal Kebangsaan musim lalu. Separuh masa kedua bermula dengan kedudukan Perak mendahului dengan 3-1. Tidak cukup dengan itu, Perak terus mendominasi perlawanan dengan menambah 3 lagi jaringan dan Kedah berjaya memperoleh 2 jaringan bagi merapatkan jurang dan perlawanan berakhir dengan Perak menewaskan Kedah dengan 6-3.

Selepas berakhir 18 perlawanan kelihatan pasukan Perak masih perlu memperbaiki disiplin ketika bertahan. Dengan 70 gol yang dibolosi, jurulatih Nazim Din dan pembantu Chung Chee Wai memikirkan strategi serta pemain perlu meningkatkan prestasi supaya dapat terus memberikan aspek ketika bertahan manakala 76 jaringan yang telah dihasilkan dengan Faizul Azuan dan Fadwin masing-masing meledakkan 15 gol diharapkan dapat terus meledak bagi memberikan Perak peluang untuk terus memperbaiki kedudukan supaya dapat bersaing hebat dengan pasukan yang berada di 3 tangga teratas ketika ini.

Foto : Arena Seladang