Aksi Di Nilai Beri Harapan

Kejohanan AFC Futsal Wanita 2015 telah melabuhkan tirai apabila 2 pasukan pilihan iaitu Iran dan Jepun berentap sesama sendiri bagi membuktikan pasukan mana yang layak digelar juara Asia. Seperti dijangka perlawanan akhir berlangsung dengan begitu mendebarkan dan jaringan tunggal oleh Fereshteh Karimi berjaya membawa Iran pulang ke tanah air mereka selaku juara Asia.

Tumpuan utama pula terarah kepada keupayaan skuad wanita negara menduduki tangga ke-4 pada kejohanan ini. Tidak keterlaluan untuk memperkatakan bahawa tidak ramai yang menaruh harapan yang tinggi buat skuad kali ini untuk mara dengan lebih jauh.

Namun, dengan adunan strategi barisan kejurulatihan berserta keazaman yang menggunung dalam diri para pemain, mereka membuktikan kepada semua bahawa tiada yang mustahil bagi mereka untuk membuka mata banyak pihak berdasarkan apa yang telah dipersembahkan. Segala masalah serta halangan yang dihadapi mereka tidak diendahkan demi menggalas tanggungjawab buat negara tercinta.

Semuanya bermula apabila skuad yang digelar Malaysia 'Tigirls' ini berjaya menewaskan lawan yang tidak pernah ditewaskan mereka sejak 2013 iaitu Uzbekistan dan Hong Kong. Aksi meyakinkan terus dijelmakan oleh anak buah Chiew Chun Yong ini apabila berjaya memberikan tentangan sengit kepada pasukan yang baru sahaja dinobatkan selaku juara iaitu Iran pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Manakala saingan pada separuh akhir dan aksi penentuan tempat 3/4 pula memperlihatkan kekurangan ketara yang terdapat dalam aksi pemain negara yang wajar ditangani serius oleh barisan kejurulatihan skuad negara dan para pemain.

Pencapaian yang wajar dipuji pada edisi pertama ini diserikan lagi dengan Farahiyah Ridzuan yang dianugerahkan selaku pemenang kasut emas dengan jumlah 7 jaringan diledakkan oleh pemain yang mewakili Felda United dalam Liga Futsal Kebangsaan musim ini dan juga jaringan menarik yang dihasilkan oleh penjaga gol, Sity Norazizah Jamal yang berjaya membuatkan penjaga gol Jepun tergamam dengan jaringan cantik dari beliau.

12002280_10153209749127333_6215041472574403463_n

Statistik menunjukkan bahawa 18 jaringan diperoleh skuad negara manakala 21 jaringan pula dibolosi oleh pemain lawan. Satu statistik yang memperlihatkan masih terdapat kekurangan yang perlu ditampung oleh skuad negara untuk terus memberikan saingan yang hebat buat gergasi-gergasi futsal di Asia.

Difahamkan, kejayaan memperoleh kedudukan ke-4 edisi kali ini telah memberikan peluang kepada skuad negara untuk layak secara merit bagi edisi kejohanan berikutnya dan ini semestinya satu perkembangan positif buat skuad negara agar dapat mempersiapkan pasukan yang lebih mantap untuk edisi yang berikutnya.

Ketua jurulatih negara, Chiew Chun Yong yang ditemui selepas tamat aksi menentang Thailand mengakui bahawa pasukan yang menewaskan Malaysia semuanya berada di kelas mereka yang tersendiri. ''Sejujurnya tiada siapa yang sukakan kekalahan ini terutamanya apabila kalah di separuh akhir mahupun perebutan 3/4. Selaku jurulatih saya tidak boleh iri hati dengan kekuatan pasukan lawan namun kita perlu tahu mengapa kita berada dibelakang 3 pasukan kuasa besar tersebut'', ujar beliau.

''Kita tahu bahawa Iran, Jepun dan Thailand berada di tahap mereka yang tersendiri dalam futsal tetapi saya tahu Malaysia juga mampu mencapai tahap seperti mereka sekiranya kita mempunyai infrastruktur yang baik, program pembangunan, liga tempatan yang kompetitif dan pelan masa panjang untuk skuad kebangsaan. Mari kita lihat bagaimana cara untuk mencapai kejayaan atau mendekatkan jurang perbezaan dengan ketiga-tiga negara kuasa besar itu berbanding hanya menunggu bila kita akan menjadi juara Asia tanpa perancangan yang efektif''. tambah beliau lagi

Sokongan penyokong yang hadir membanjiri segenap ruang Stadium Tertutup Nilai juga memberikan gambaran bahawa mereka turut meletakkan sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada barisan pemain ini. Pernah satu ketika Malaysia tewas ditangan Jepun dengan keputusan 1-8 namun mereka masih tetap memberikan sokongan kepada para pemain negara. Sememangnya sokongan serta galakan dari penyokong itu merangsang di setiap denyut nadi perjuangan para pemain yang beraksi ketika itu. Tahniah diucapkan pada semua yang hadir memenuhi stadium dari perlawanan pertama hingga ke perlawanan terakhir skuad negara.

Semoga dengan pencapaian baik ini, pihak yang berkenaan dapat melihat perkembangan futsal wanita ini dengan lebih serius supaya pembangunan lebih sistematik dapat diterapkan dalam mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan yang kian mendapat tempat dihati rakyat Malaysia.

Foto : SukanMalaysia.my

Artikel Oleh : Wak Meor