Aidil Rosli Mahu Rakan Sepasukan Berikan Aksi Terbaik di AFC B-20

Ketua pasukan Malaysia U-20 mahu kesemua rakan-rakannya berikan aksi terbaik di Kejohanan Futsal B-20 AFC 2017 yang akan bermula 16 Mei ini.

Beliau yang turut tersenarai dalam 14 pemain yang akan membawa cabaran negara nanti berpendapat bahawa kesemua pemain yang terpilih mampu untuk berikan tentangan sengit nanti walaupun sedar mereka berada bersama gergasi besar di Asia.

"Apa yang membezakan kami bersama pasukan lain mungkin kekurangan dari segi pengalaman memandangkan negara lain mempunyai liga di peringkat remaja, namun itu bukan satu alasan buat kami semua, kami tahu kemampuan pasukan kami dan kami akan buat yang terbaik nanti," kata Aidil.

Pada kejohanan itu nanti pasukan Malaysia akan bertemu tuan rumah Thailand pada 16 Mei diikuti Afghanistan (17 Mei), Bahrain (18 Mei), Iraq (19 Mei) dan Brunei (20 Mei) untuk lima aksi Kumpulan A di Bangkok Arena.

"Harapan kami sudah pasti ingin menjadi juara dan mengharumkan nama negara. Saya harap kami dapat berkerjasama dan memberi persembahan terbaik pada kejohanan ini".