Afif Asyraf Tidak Sabar Untuk Beraksi Bersama Pasukan Baru

Pada musim yang lepas pemain ini bermain bersama-sama dengan pasukan UiTM FC di Liga Perdana. Kini pemain bek kiri ini bakal beraksi bersama pasukan baru iaitu Kuantan FA yang baru sahaja naik ke liga perdana musim ini.

Afif Asyraf pemain yang berasal dari Kajang ini adalah seorang pemain yang lincah dan berkaliber. Pemain yang berumur 24 tahun ini kini menjadikan bola sepak ini sebagai karier utama beliau.

Apa yang menarik pemain ini pernah beraksi bersama pasukan Pahang di Liga Futsal kebangsaan dan beliau juga pernah mewakili pasukan Futsal UiTM sebelum behijrah ke pasukan bola sepak UiTM.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pemain ini ikuti temubual wartawan kami bersama saudara Afif Asyraf.

AFM : Boleh ceritakan sedikit bagaiman karier anda sebagai pemain bola sepak bermula?
AA : Saya mula serius bermain bola sepak sejak saya berumur 11 tahun. Ketika itu saya bermain dengan pasukan Caversham Trents FC iaitu kelab dibawah pengendalian Akademi Bolasepak Reading. Ketika itu saya menetap di Reading , United Kingdom selama 5 tahun.

AFM : Difahamkan anda pernah mewakili Pahang untuk Liga Futsal Kebangsaan. Boleh ceritakan sedikit?
AA : Ya saya pernah mewakili Pahang untuk Liga Futsal Kebangsaan pada tahun 2010. Setelah kembalinya saya ke Malaysia , saya terpaksa melupakan seketika dunia bola sepak kerana perlu memberikan tumpuan untuk peperiksaan SPM. Kemudian saya dapat menyambung pelajaran di Universiti Kolej Shahputra di Pahang. Di situ saya mula bermain futsal dan bakat saya telah menarik perhatian pengurusan futsal Pahang dan saya telah dipanggil untuk mewakili pasukan Pahang.

AFM : Anda telah mendapat tempat di pasukan Pahang untuk Liga Futsal Kebangsaan. Kenapa behijrah kembali ke dunia bola sepak.
AA : Ketika saya menyambungkan pelajaran di UiTM dalam bidang Sains sukan, saya telah dipanggil oleh barisan kejurulatihan UiTM FC untuk turun ke padang menjalani latihan. Rakan-rakan, coach serta pihak pengurusan UiTM FC banyak membantu saya dan dari situ saya mula kembali serius untuk meneruskan karier dalam bidang bola sepak. Pada awalnya agak susah kerana saya perlu membahagikan masa antara pelajaran dan bola sepak. Alhamdulillah saya berjaya menamatkan pengajian saya dan saya berjaya membantu pasukan UiTM FC kekal di Liga Perdana. Sebelum saya menyertai pasukan bola sepak UiTM FC saya sempat mewakili pasukan futsal UiTM untuk beberapa kejohanan dan Liga IPT.

AFM : Banyak pemain-pemain bola sepak ternama mengatakan sukan futsal banyak membantu mereka menjadi seorang pemain yang bagus. Pendapat anda? Adakah ia membantu?
AA : Futsal dan bola sepak tiada banyak bezanya cuma futsal di negara ternama seperti Brazil merupakan sukan asas mereka sebelum berhijrah ke bola sepak. Futsal banyak membantu saya dari segi pemahaman asas serangan dan pertahanan yang digunakan dalam bola sepak. Ia banyak membantu saya.

AFM : Jika diberi peluang untuk kembali ke arena futsal adakah anda akan kembali?
AA : InsyaAllah. Pada waktu saya perlu lebih fokus kepada bola sepak kerana inilah karier yang ingin saya teruskan sehingga saya bersara. Tetapi saya masih bermain futsal pada waktu lapang terutama apabila diberi cuti bersama rakan untuk memastikan saya sentiasa aktif dengan bola.

AFM : Kini anda bakal beraksi bersama Kuantan FA di Liga Perdana. Apakah harapan anda untuk diri sendiri dan pasukan?
AA : Setelah 2 tahun saya bersama dengan UiTM FC tiba masa untuk saya mencari pengalaman luar dan alhamdulillah Kuantan FA menjadi pilihan saya untuk terus beraksi di Liga Perdana. Harapan untuk diri saya adalah untuk terus memperbaiki kelemahan saya sekali gus menjadi pemain yg lebih matang apabila diberi peluang beraksi. Usaha gigih perlu saya utamakn terutama sekali pada waktu training. Harapan untuk kuantan FA supaya terus kekal di Liga Perdana untuk musim akan datang. Kami mensasarkan untuk ke Piala Malaysia selain untuk pergi lebih jauh dan beri saingan sengit untuk Piala FA. Kami semakin serasi dan insyaAllah akan lakukan yang terbaik untuk warga Kuantan.

Kami dari pihak Arena Futsal Malaysia mengucapkan semoga berjaya buat saudara Afif Asyraf dan Kuantan FA