Addie Azwan Mahu Para Pemain Fokus

Pasukan berstatus juara bertahan Felda United tidak mahu mengambil mudah mengenai cabaran Liga Futsal Kebangsaan 2017 ini.

Ketiadaan beberapa pasukan ternama seperti Selangor, Selangor MPSJ, Kedah dan Sabah yang menarik diri bukan satu tiket buat Felda United untuk menang mudah bagi perlawanan lain.

Menurut ketua jurulatih baru Felda United iaitu Addie Azwan, beliau percaya kesemua pasukan pasukan yang akan beraksi sudah bersedia dan akan memberikan saingan yang kuat pada kali ini.

"Saya sentiasa memberi ingatan kepada para pemain untuk tidak mengambil mudah bagi setiap perlawanan", kata Addie.

Pada minggu pertama ini Felda United akan bertemu pasukan baru KL TPD dan pasukan T-Team di hari kedua.

"Kami pernah bermain dengan pasukan KL TPD, walaupun kami menang perlawanan tersebut saya lihat pemain pasukan itu tidak boleh dipandang rendah. Kebanyakkan pemain KL TPD pemain muda dan baru yang lahir dari liga sosial dan IPT tidak mustahil mereka mampu membuat kejutan," katanya.

Tambahnya lagi pasukan T-Team juga tidak boleh dipandang rendah. Menurutnya pasukan ini adalah satu-satunya pasukan yang selalu membuat kejutan di LFK.

"Kami akan cuba yang terbaik pada LFK 2017 ini dan sudah pasti harapan kami untuk mengekalkan kejuaraan namun perjalanan itu masih jauh, kami akan fokus dan cuba memenangi setiap perlawanan," tegas Addie.