20 Pemain Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Futsal Negara Menjelang Kejuaraan Futsal AFC 2018

Berikut senarai 20 pemain dipilih ketua jurulatih futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong untuk menyertai kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Selasa, 2 Januari 2018 bagi persiapan menghadapi Kejuaraan Futsal AFC 2018 di Chinese Taipei dari 1 hingga 11 Februari 2018.

  1. Abu Haniffa Hasan (Melaka)
  2. Muhammad Awaluddin Hasan (Melaka)
  3. Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin (Melaka)
  4. Saiful Aula Ahmad (Melaka)
  5. Mohd Firdaus Razali (Melaka)
  6. Saiful Nizam Mohd Ali (Melaka)
  7. Yazid Kamaruzuan (Melaka)
  8. Azrul Hadee Mohd Taufiq (Felda United)
  9. Muhammad Azri Rahman (Felda United)
  10. Mohd Azwann Ismail (Felda United)
  11. Syed Aizad Daniel Syed Nasir (Felda United)
  12. Muhammad Aidil Shahril Rosli (Felda United)
  13. Mohd Ridzwan Bakri (Pahang)
  14. Akmarulnizam Mohd Idris (Pahang)
  15. Muhammad Farikh Khabibor Rahman (Perak)
  16. Mohamad Awalludin Mat Nawi (Perak)
  17. Muhammad Syafiq Hamzah (KL City)
  18. Hazizi Mansor (KL City)
  19. Iskandar Harun (Sarawak)
  20. Ahmad Harith Naim Mohd Nasir (Kuantan Rangers)

Chun Yong mengekalkan kesemua 14 pemain yang membantu Malaysia muncul naib juara Kejuaraan Futsal AFF 2017 di Ho Chi Minh City, Vietnam pada awal November lalu selepas tewas tipis 4-3 kepada juara bertahan, Thailand pada aksi final.

 Bagi melengkapkan senarai 20 pemain untuk kem latihan pusat kali ini, Chun Yong memanggil enam pemain lain iaitu penjaga gol, Syafiq Hamzah (KL City), Hazizi Mansor (KL City), Iskandar Harun (Sarawak), Muhammad Aidil Shahril Rosli (Felda United), Ahmad Harith Naim Mohd Nasir (Kuantan Rangers) dan Saiful Aula Ahmad (Melaka).

Sementara lima lagi pemain diletakkan dalam senarai bersedia jika mana-mana pemain dari kalangan 20 pemain di atas mengalami kecederaan iaitu Muhammad Shamsul Akmar Zamri (Pahang), Nur Hazim Suleiman (Perak), Mohd Firdaus Ambiah (Melaka), Muhd Amirul Sugito (KL Petaling Putra) dan Muhammad Nurasyraf Mohd Azle (KL City).

Selepas seminggu menjalani latihan di Wisma FAM bermula 2 Januari ini, para pemain akan ke Kota Bharu, Kelantan pada 8 Januari untuk kem latihan pusat selama seminggu di sana sebelum kembali ke Kelana Jaya pada 14 Januari bagi meneruskan latihan di Wisma FAM sehingga 19 Januari.

Kemudian pada 20 Januari, mereka akan terbang ke Beirut, Lebanon untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang skuad kebangsaan Lebanon sebelum kembali ke tanah air pada 25 Januari. Skuad futsal kebangsaan selepas itu akan terbang ke Chinese Taipei pada 30 Januari.

 Bagi Kejuaraan Futsal AFC 2018, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A bakal memulakan kempen berdepan Vietnam pada 1 Februari dan tuan rumah, Chinese Taipei pada 3 Februari, kedua-duanya di Xinzhuang Gymnasium, Taipei City sebelum aksi terakhir bertemu Bahrain pada 5 Februari di University of Taipei Gymnasium, Taipei City.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan kemudian akan mara ke suku akhir yang dijadual berlangsung pada 8 Februari, disusuli aksi separuh akhir pada 9 Februari dan final pada 11 Februari.

Andai Malaysia berjaya melangkah ke suku akhir, lawan yang bakal ditemui adalah dari Kumpulan B iaitu naib juara empat kali termasuk pada edisi 2016, Uzbekistan; juara tiga kali, Jepun; pasukan yang layak ke suku akhir edisi 2007, Tajikistan atau naib juara edisi sulung 1999, Korea Selatan.

Sementara itu, dua lagi kumpulan menyaksikan juara 11 kali yang juga bertahan, Iran diundi dalam Kumpulan C bersama Iraq, China dan pasukan yang layak pertama kali, Myanmar manakala Kumpulan D pula menampilkan jaguh Asia Tenggara yang juga naib juara dua kali pada 2008 dan 2012, Thailand diletakkan bersama Kyrgyzstan, Lebanon dan Jordan.

Untuk rekod, sepanjang penyertaan pada 11 daripada 14 edisi sebelum ini, kesemuanya Malaysia kandas seawal peringkat kumpulan termasuk sewaktu edisi sebelum ini di Uzbekistan pada 2016 apabila skuad kendalian Marcelo Serpa ketika itu sekadar menghuni tangga keempat Kumpulan D tanpa sebarang mata selepas tewas kepada Australia 2-1, Jepun 11-1 dan Qatar 6-2.

Artikel oleh : FAM